SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menafikan mengeluarkan kenyataan konon “Selangor masih belum lagi kritikal” walaupun kes positif Covid-19 di negeri itu mencatat lebih 6,000 hari ini.
Beliau berkata, ada pihak cuba memburuk-burukkan reputasinya dengan mengeluarkan tangkap layar berkenaan yang kononnya memetik kenyataan daripadanya.
“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian. Tangkap layar tersebut adalah tidak benar dan bersifat fitnah,” katanya ringkas menerusi ciapan Twitternya hari ini.
Tangkap layar yang tular itu mencatatkan, “Selangor masih belum lagi kritikan – MB Selangor” dengan berlatarkan sebuah media arus perdana, BH Online.
Tujuan pihak tidak bertanggungjawab menggunakan latar belakang media itu supaya kenyataan berkenaan dilihat sebagai benar dan dipercayai orang ramai.
Tangkap layar itu mula tular selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan kenyataan berhubung kes Covid-19 hari ini yang merekodkan 13,215 kes.
Selangor penyumbang tertinggi kes Covid-19 hari ini iaitu 6,120. – MalaysiaGazette