Liverpool akhiri minat terhadap Tielemans sebagai pengganti Wijnaldum di Anfield musim ini berikutan kekangan klausa yang ditetapkan the Foxes.

LONDON – Liverpool terus menemui jalan buntu mencari pengganti Georginio Wijnaldum yang telah menyertai Paris Saint Germain (PSG) secara percuma.

Sejak bintang tengah Belanda itu meninggalkan Anfield, kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain itu masih tidak diisi.

Terbaharu Liverpool memulakan rundingan untuk mendapatkan bintang Leicester City, Youri Tielemans namun rundingan itu ditamatkan.

Leicester dilihat tidak berminat untuk melayan sebarang tawaran untuk bintang tersebut.

Selain itu, klausa yuran yang dimiliki pemain itu juga menjadi halangan utama apabila Liverpool dilaporkan tidak mahu terburu-buru membelanjakan dana yang besar untuk pemain itu pada musim ini.

Tielemans yang merupakan bintang Belgium memiliki klausa pelepasan sebanyak £64 juta dan Brendan Rodgers dilaporkan yakin pemain tersebut akan kekal di King Power Stadium. – MalaysiaGazette