KUALA LUMPUR – Guru Kelas Fardu Ain (Kafa) disarankan supaya meneruskan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian berikutan pelbagai kesukaran dan kekangan yang dihadapi mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pihaknya menyedari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, pelbagai kesusahan dilalui semua pihak dalam pelaksanaan Kafa.
“PdPR Kafa adalah pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan di rumah atau pusat komuniti atau di mana-mana lokasi bersesuaian, manakala kaedah ini boleh dilaksanakan dalam talian, luar talian atau off-site dengan mengikut jadual ditetapkan.
“Kita menggalakkan yang terlibat dengan PdPR ini melaksanakannya mengikut kesesuaian antara guru dan murid. Kita sedar sepanjang PKP ini bermacam kesusahan dan kekangan dilalui mereka.
“Oleh itu, Jakim masih mengambil peranan dalam menyarankan semua guru Kafa melalui agensi pelaksana di negeri meneruskannya kepada murid melalui kaedah bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Konvensyen Murabbi Ummah peringkat kebangsaan yang diadakan secara atas talian, hari ini.
Menurut Dr. Zulkifli, pelaksanaan Kafa D’Hijrah dengan kerjasama Jakim, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan TV Hijrah juga antara insiatif yang membantu murid Kafa menjalani pembelajaran di rumah.
Beliau berharap, semua pihak memberi kerjasama dan ruang kepada guru Kafa meneruskan usaha menyampaikan ilmu kepada murid dalam situasi yang serba sukar ini.
“Mudah-mudahan segala pengorbanan, keprihatinan dan komiten guru ini akan melahirkan generasi yang terdidik pada masa akan datang.
“Saya juga menyeru para murabbi ummah sentiasa meningkat dan memperkasakan ilmu pengetahuan, kemahiran berdakwah melalui media baharu secara optimum dalam era pandemik Covid-19.
“Kita tidak boleh kerap memberikan alasan bahawa sejak dilaksanakan PKP, proses pembelajaran dan pengajaran terpaksa ditangguhkan atau dihentikan. Masyarakat perlu terus dididik dan dibimbing walau dalam keadaan apa cara sekalipun,” katanya.
Beliau menjelaskan, beberapa modul dan SOP pembelajaran dan pengajaran seperti Modul Kelas Pengajian Takmir, SOP Kelas Pengajian Takmir Secara Online dan lain-lain lagi akan diselarikan dengan isu semasa masyarakat serta sesuai dengan kaedah penggunaan teknologi ICT.
Selain dari itu, kata Dr. Zulkifli, kerajaan akan memperhalusi semula kouta guru takmir sedia ada dengan nisbah jumlah masjid dan surau di seluruh negara untuk dilakukan penambahan agar memenuhi keperluan dan kumpulan sasaran yang dimaksudkan.
Ini katanya, termasuk melebarluaskan keperluannya mengajar di agensi lain seperti di Institusi Penjara, Institusi Warga Emas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). – MalaysiaGazette