Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Sembilan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan dalam lokaliti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejak 3 Julai lalu akan ditamatkan esok.

Kawasan itu ialah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Semerak, PPR Batu Muda, Kampung Padang Balang, Taman Koperasi Polis (Fasa 2), Flat Sri Sabah, PPR Kampung Baru Air Panas, PPR Kerinchi, Bandar Baru Sentul dan Taman Ikan Emas.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dua mukim di Pahang juga turut ditamatkan PKPD bermula esok dan lusa iaitu Mukim Kuala Kuantan 1 dan Mukim Kuala Kuantan 2.

Katanya, PKPD Mukim Kuala Kuantan 1 bermula 3 Julai akan berakhir esok 16 Julai, manakala Mukim Kuala Kuantan 2 yang bermula 4 Julai akan tamat 17 Julai ini.

Turut ditamatkan bermula esok ialah Kampung Lingkodon, Kota Belud; Kampung Pintas Kubu, Beaufort; Kampung Muhibbah, Putatan; dan Kampung Goshen, Kota Marudu, Sabah.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan persetujuan kerajaan untuk melaksanakan PKPD di beberapa lokaliti di Perak dan Sabah selama dua minggu mulai 17 hingga 30 Julai ini.

Kawasan itu ialah Kampung Perpaduan Gumpa, Kudat; Perumahan Sabah Forest Industry (SFI), Sipitang; Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan, Tawau, Sabah.

Manakala Perak pula melibatkan Apartment Tropicana Bukit Merah, Kampung Tersusun Pondok Tanjung dan Kampung Binjai dalam daerah Kerian.

“SOP bagi semua kawasan yang dikenakan PKPD adalah sama seperti diumumkan sebelum ini dan maklumat lanjut boleh diakses di lamab sesawang MKN di www.mkn.gov.my,” katanya dalam kenyataan kepada media, malam ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast