Pergaduhan yang menyaksikan seorang wanita menendang mangsa tular di media sosial,

KUALA LUMPUR – Tujuh individu termasuk tiga wanita yang terlibat dalam pergaduhan di Kampung Pasir Tumboh, dekat Kota Bharu, Kelantan semalam, direman untuk siasatan.

Perintah tahanan reman selama tiga hari sehingga Sabtu ini dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah, Rusli Ahmad di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini.

Mereka ditahan untuk membantu siasatan dalam kejadian seorang lelaki yang dikatakan bekerja sebagai buruh dipukul beramai-ramai oleh individu terbabit.

Berdasarkan rakaman video yang tular di media sosial itu, memudahkan polis mengesan serta menahan semua individu berkenaan.

Semua mereka yang berusia 19 hingga 46 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Berdasarkan rakaman video yang tular sejak Selasa lalu, mangsa dilihat bertengkar dengan seorang wanita yang memakai baju bercorak bunga kuning merah dalam kejadian kira-kira jam 5 petang.

Bagaimanapun, lelaki itu meluru ke arah kereta dinaiki wanita terbabit dan menendang bahagian hadapan, menyebabkan pemandu dan beberapa penumpang dalam kereta Perodua Alza itu turun.

Kelihatan pemandu kereta terbabit hendak menyerang lelaki berkenaan, tetapi dihalang oleh beberapa orang awam yang berada dan menyaksikan kejadian itu.

Namun, dalam beberapa saat, buruh itu kemudian dipukul oleh beberapa individu termasuk wanita terbabit.

Keadaan tidak terkawal apabila orang awam juga dilihat turut campur tangan memukul buruh berkenaan sehingga cedera.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, kejadian bermula apabila pemandu itu dikatakan membunyikan hon kerana mendakwa mengenali mangsa.

“Pemandu berkenaan memberhentikan kereta di tepi jalan, kemudian dari situ berlaku pertengkaran dan ejek mengejek antara mereka, sebelum kenderaan itu ditendang oleh mangsa.

“Mangsa bagaimanapun, mendakwa dipukul oleh suspek dan beberapa individu tidak dikenali termasuk seorang wanita menyebabkannya mengalami bengkak dan lebam di bahagian muka serta badan.

“Semua mereka termasuk mangsa sedang disiasat untuk mengetahui punca kejadian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast