Tengku Adnan Tengku Mansor

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini akan membuat keputusan mengenai rayuan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, terhadap sabitan kesnya dan penjara 12 bulan dan denda RM2 juta kerana menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, lima tahun lepas.

Keputusan itu dijadualkan untuk disebut di mahkamah terbuka pada 9 pagi oleh panel tiga hakim yang bersidang iaitu Hakim Datuk Suraya Othman, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Ahmad Nasfy Yasin, yang telah mendengar rayuan itu pada 22 April tahun lepas.

Pada 21 Disember tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman terhadap Tengku Adnan yang dikenali sebagai Ku Nan, penjara 12 bulan dan mengenakan denda RM2 juta, selepas beliau didapati bersalah.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan Ahli Parlimen Putrajaya itu, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda itu, sementara menunggu rayuan.

Tengku Adnan, 70, didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, menerima RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek didepositkan ke dalam akaun bank milik syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang beliau mempunyai kepentingan dan diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan tugas rasminya.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda.

Sejumlah 15 wartawan daripada media tempatan telah diberikan pas, bagi mengikuti perbicaraan menerusi sidang video di sebuah bilik. – MalaysiaGazette