Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dicadang supaya merombak gaya dan struktur pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi mengelak keciciran penyampaian kepada murid sekolah.

Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat Parti Amanah Negara, Datuk Dr Hasan Bahrom berkata, terlalu banyak masalah berlaku sepanjang tempoh PdPR 3.0 yang masih tidak dapat diselesaikan oleh KPM.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan menjelang pembukaan sekolah separuh kedua penggal kedua ini, lebih ramai murid yang tidak akan dapat menyertai PdPR.

“Berdasarkan senario tersebut, Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat Amanah Nasional mencadangkan kepada KPM untuk merombak sedikit gaya dan struktur pelaksanaan PdPR.

“Antaranya ialah, mewajibkan semua sekolah pelbagai peringkat melaksanakan jadual dalam bentuk anjal, di mana dalam sehari hanya tiga mata pelajaran sahaja akan diajar dan guru serta murid diberikan kebebasan untuk mengadakan sesi tunjuk ajar dan perbincangan mengikut kesesuaian guru dan murid,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hasan berkata, turut perlu dilakukan adalah mengurangkan pelaporan mengajar guru-guru kepada satu sahaja dan lebih mesra PdPR serta mempelbagaikan bentuk latihan dan penilaian buat murid-murid sekolah dan tidak bergantung sepenuhnya kepada pembelajaran dalam talian semata-mata yang memerlukan data yang banyak.

Tambahnya, cadangan tersebut merupakan asas awal bagi memastikan murid dan guru tidak terbeban untuk melaksanakan PdPR selain ia haruslah berlandaskan konteks semasa, dimana ramai murid daripada golongan sederhana yang pastinya kurang peruntukan kewangan untuk menyertai PdPR.

Katanya lagi, PdPR itu mestilah bersifat menarik minat murid dan bukan memaksa kerana asasnya adalah pendidikan yang berjalan antara guru dan murid walaupun minima. – MalaysiaGazette