Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor, Nazli Md Taib. Foto MOHD ADZLAN, 10 MAC 2021.

SHAH ALAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor memeriksa sebanyak 1,035 pelbagai jenis kenderaan dalam Ops Patuh Covid-19 dalam tempoh empat hari sejak 13 Julai lalu.

Dalam tempoh itu, anggota penguatkuasa JPJ telah mengeluarkan dua kompaun masing-masing satu syarikat dan seorang individu atas kesalahan melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menurut Pengarahnya, Nazli Md. Taib, kesalahan pertama melibatkan sebuah bas kilang, manakala kesalahan kedua, bas milik enterprise membawa penumpang melebih kapasiti 50 peratus yang dibenarkan.

Kata beliau, kesalahan bas kilang itu dikompaun sebanyak RM25,000, manakala bagi bas milik enterprise dikenakan kompaun RM5,000.

“Kesalahan bas kilang ialah gagal mematuhi peraturan 15 iaitu Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah dalam kawasan tempat berjangkit).

“Mereka ini gagal memastikan kapasiti 50 peratus penumpang. Mereka sepatutnya membawa 22 penumpang, tetapi dalam pemeriksaan itu ada lebih 30 orang. Kita keluarkan kompaun sebanyak RM25,000 bagi kesalahan itu.

“Bagi bas milik Enterprise pula, kita kesan melakukan kesalahan pagi ini di bawah Seksyen 11(5) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana membawa penumpang seramai 28 orang daripada 14 penumpang yang dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) di Persiaran Budiman, Seksyen 25, dekat sini, pagi ini.

Menurut Nazli, memandangkan kesalahan kedua itu melibatkan syarikat bas milik Enterprise, pihaknya mengeluarkan saman bawah kategori individu iaitu RM5,000.

Kompaun itu, kata beliau, diserahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berdekatan untuk tindakan lanjut sama ada untuk tindakan rayuan, mahkamah atau sebagainya.

“Syarikat dan individu ini perlu berurusan dengan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) atau PKD dari segi rayuan dan sebagainya,” katanya.

Mengenai Ops Patuh di daerah Petaling dan Klang, beliau berkata, operasi itu dimulakan sejak 5 Julai lalu sebaik sahaja JPJ diberi kuasa oleh KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk terlibat melakukan SJR Covid-19 serta mengeluarkan kompaun kepada yang melakukan kesalahan tidak patuh SOP.

Katanya, operasi itu lebih tertumpu kepada bas kilang bagi memastikan mereka membawa penumpang separuh atau 50 peratus daripada jumlah tempat duduk penumpang.

Untuk operasi pagi ini, yang bermula jam 6 pagi hingga 10 pagi, sebanyak 188 kenderaan iaitu 21 bas, 44 lori, 108 kereta dan 15 motosikal telah diperiksa.

Dari jumlah itu, sebanyak 74 kesalahan telah dikesan iaitu tiada lesen memandu 13 kes, tiada perlindungan insurans (23 kes), salah guna cukai jalan (16 kes), cermin gelap (10 kes) dan kesalahan teknikal kenderaan (12 kes).

Kata Nazli, walaupun kerajaan memberi pengecualian tempat memperbaharui cukai jalan sehingga 30 September ini, tetapi pemilik pelbagai jenis kenderaan perlu membayar polisi atau insurans jalan.

“Sekarang ini kerajaan masih memberi pengecualian untuk perbaharui cukai jalan, tetapi polisi atau insurans wajib ada. Kenderaan yang tidak mempunyai insurans, terpaksa kita keluarkan saman,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast