Hospital Shah Alam

KUALA LUMPUR – Hospital Shah Alam (HSA) diminta supaya memberi penjelasan berhubung Covid-19 yang menjangkiti seorang pesakit ketika menerima rawatan di hospital itu.

Peguam, Wan Azmir Wan Majid berkata, anak guamnya, Siti Syakirah Mohd Rum mahu mendapatkan kepastian mengenai perkara itu kerana telah menyebabkan kematian bapanya, Mohd Rum Anuar pada 21 Jun lalu.

Beliau berkata, Allahyarham telah dimasukkan ke ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital berkenaan pada 5 Mei lepas untuk mendapatkan rawatan dan pembedahan membuang ketumbuhan usus.

Katanya, Allahyarham disahkan bebas daripada jangkitan virus Covid-19 ketika dimasukkan ke hospital berkenaan.

“Setelah selesai prosedur pembedahan, Mohd Rum dimasukkan ke Wad Pembedahan Lelaki, katil 9A di Tingkat 13, HSA bagi proses pemulihan serta pemantauan rapi dengan bantuan oksigen (melalui kaedah tracheostomy).

“Setelah anak guam kami dan keluarga dimaklumkan berkenaan keadaan Mohd Rum yang masih memerlukan pemantauan rapi sepanjang tempoh rawatan di wad tersebut, kehadiran beberapa orang waris bagi menjaga Mohd Rum tidak mendapat bantahan dari pengawal, para doktor dan jururawat yang bertugas.

“Inisiatif giliran bagi menjaga Mohd Rum oleh waris-waris yang lain telah berlangsung dari 20 Mei sehingga 13 Jun 2021. Sepanjang tempoh tersebut, tahap kesihatan Mohd Rum menunjukkan tanda-tanda pemulihan,” katanya yang merupakan peguam dari Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak pada sidang media secara hibrid, hari ini.

Wan Azmir berkata, pada 6 Jun, seorang doktor ada memaklumkan mengenai kesediaan membuat pelepasan (discaj) dari hospital terhadap Mohd Rum.

Bagaimanapun katanya, seorang doktor lain yang membuat pemeriksaan memaklumkan pelepasan tersebut perlu ditangguhkan kerana kadar oksigen dalam darah Mohd Rum masih tidak stabil.

Pada 9 Jun katanya, seorang lagi doktor telah memaklumkan bahawa keadaan Mohd Rum semakin baik dan telah dipindahkan ke katil 14, di tingkat 13 hospital berkenaan bersebelahan dengan seorang pesakit wanita di dalam bilik yang sama.

“Melalui pemerhatian waris ketika menjaga Mohd Rum di bilik tersebut, pesakit wanita itu menunjukkan gejala batuk-batuk yang teruk tanpa pelitup muka sehingga menyebabkan kerisauan kepada waris yang menjaga Mohd Rum sekiranya berlaku apa-apa jangkitan kepada Mohd Rum melalui pesakit wanita tersebut. Pesakit wanita tersebut tidak diasingkan ke bilik yang berasingan.

“Perkara ini telah dimaklumkan oleh waris kepada pihak HSA, namun dimaklumkan tiada tindakan segera diambil.

“Waris penjaga hanya dimaklumkan oleh doktor bahawa pesakit wanita di katil 13 adalah positif Covid-19 pada 13 Jun iaitu setelah lima hari Mohd. Rum berada di dalam bilik yang sama.

“Pada tarikh yang sama, Mohd. Rum juga telah menunjukkan beberapa gejala yang luar dari kebiasaan sepanjang penjagaan, iaitu demam panas dan muntah-muntah sebanyak lima kali. Pada 14 Jun Mohd Rum sekali lagi telah mengalami muntah-muntah sebanyak tiga kali,” ujarnya.

Berikutan kejadian itu tambah beliau, ujian calitan untuk Covid-19 telah dilakukan ke atas Mohd Rum pada 13 Jun dan telah disahkan positif wabak itu melalui keputusan ujian bertarikh 14 Jun.

Peguam, Wan Azmir Wan Majid

Mohd. Rum telah dikategorikan sebagai pesakit Covid-19 tahap empat kerana memerlukan bantuan pernafasan dan telah dipindahkan ke wad pesakit Covid-19 di tingkat sembilan, katanya.

Selepas tujuh hari berada di wad itu, Mohd Rum telah disahkan meninggal dunia akibat daripada “severe covid pneumonia with underlying colon carcinoma”.

Sehubungan itu kata beliau, anak guamnya ingin mendapatkan kepastian dan penjelasan yang menyeluruh daripada pihak HSA mengenai fakta-fakta tersebut yang mana ia merupakan suatu isu serius dan perlu diambil perhatian oleh semua pihak dan tindakan serta siasatan segera perlu dilakukan oleh pihak hospital.

Berikutan kes itu juga katanya, hampir seluruh ahli keluarga Allahyarham telah disahkan positif Covid-19 dan terpaksa menjalani kuarantin dengan isteri Allahyarham ditempatkan di Hospital Sungai Buloh selama 10 hari.

Bagaimanapun ujarnya, ahli keluarga Allahyarham amat menghargai dan menyanjungi usaha dan penat lelah para petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus merawat Mohd Rum sepanjang rawatannya di HSA dan redha dengan ketentuan yang telah ditetapkan.

“Isu melibatkan Covid-19 perlu ditangani dengan segera memandangkan ianya melibatkan individu-individu yang berisiko tinggi dijangkiti dengan virus membawa maut ini,” katanya. – MalaysiaGazette