Pegawai JPJ memeriksa bas pekerja operasi Op Patuh di Persiaran Budiman, Seksyen 25, Shah Alam. Foto HAFIZ SOHAIMI, 16 JULAI 2021.

SHAH ALAM – Pelajar dan ejen institut memandu di negeri ini dinasihatkan sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai status masing-masing menerusi laman sesawang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md. Taib berkata, sehingga kini kerajaan masih tidak membenarkan institut memandu beroperasi, manakala proses mendapatkan lesen bagi pelajar ditangguhkan pada tarikh tertentu.

“Kerajaan sudah bagi pengecualian dan telah diumumkan oleh Menteri Pengangkutan sebelum ini.

“Oleh itu, pelajar atau ejen institut sekolah memandu boleh merujuk laman we JPJ,” katanya pada sidang media selepas mengetuai Ops Patuh Covid-19 di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Persiaran Budiman, Seksyen 25, dekat sini, pagi ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung tanda tanya pelajar yang sudah tamat latihan, tetapi belum menerima lesen memandu.

Baru-baru ini, institut memandu dan latihan meminta kerajaan membenarkan perkhidmatan itu beroperasi walaupun dalam tempoh PKP berikutan pendapatan mereka semakin merosot.

Mereka mendakwa, akibat daripada PKP, kebanyakan tenaga pengajaran dan ejen institut memandu mengalami kesukaran dalam waktu genting bagi menampung kehidupan seharian yang terjejas teruk.

Dakwa mereka, penutupan institut memandu bagi tempoh panjang akan mengakibatkan pemberhentian pekerja termasuk kemungkinan penutupan institut memandu.

Kata Nazli, orang awam yang mempunyai lesen, tetapi sudah tamat tempoh diberi pengecualian sehingga 30 September ini untuk memperbaharuinya.

Pada masa sama, kata beliau, mereka perlu membayar atau memperbaharui insurans kenderaan untuk membolehkan bergerak di jalan raya.

“Pemegang lesen P pun diberi pengecualian. Tidak ada isu kalau mereka tidak mempunyai cukai jalan, asalkan insurans kenderaan diperbaharui,” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast