KUALA LUMPUR – Kerajaan Pas Kelantan menetapkan 23, 24 dan 25 Ogos ini untuk persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu.
Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kob berkata, kerajaan negeri akan mendapatkan perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berhubung tarikh berkenaan.
Kata beliau, sekiranya mendapat perkenan baginda, persidangan DUN akan diadakan dengan SOP ketat bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.
“Persidangan DUN Kelantan dijangka berlangsung selama tiga hari mengikut tarikh-tarikh berkenaan sebagaimana yang dikemukakan oleh kerajaan negeri,” katanya sebagaimana dilaporkan Harakahdaily, hari ini.
Semalam, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan, jadual persidangan Parlimen akan diadakan selama 15 hari mulai 6 hingga 30 September ini.
Mesyuarat kedua pula bermula 25 Oktober hingga 16 Disember iaitu selama 32 hari, manakala persidangan khas Dewan Rakyat pada 26 hingga 29 Julai ini. – MalaysiaGazette