Suspek maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di tepi jalan di kawasan Bedong dekat Sungai Petani, Kedah. - Foto PDRM Kedah

ALOR SETAR – Seorang lelaki yang cuba melarikan diri daripada polis maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di tepi jalan di kawasan Bedong dekat Sungai Petani pada 8.20 malam semalam.

Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek yang berumur 30-an itu terlebih dahulu disyaki menconteng dinding Istana Anak Bukit, Alor Setar dan menumbuk seorang anggota polis wanita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

“Pada pukul 3 petang (semalam) suspek yang menaiki motosikal berwarna hitam, telah menconteng dinding tembok Istana Anak Bukit dengan tulisan ‘SAMR’, sebelum melarikan diri dan gerakan mengesan suspek telah dimulakan.

“Kemudian, suspek yang sama dipercayai pergi ke IPD Kota Setar pada pukul 5 petang, dan telah menumbuk seorang anggota polis wanita yang sedang bertugas, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman berkata, suspek yang menaiki motosikal sama berwarna hitam itu, membaling satu objek yang disyaki pistol mainan sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.

Beliau berkata hasil siasatan, polis berjaya mengesan dan menjumpai motosikal yang digunakan dalam kejadian berkenaan, sebelum menjumpai suspek di kawasan Gurun dekat Sungai Petani.

“Suspek yang sedar dengan kehadiran polis, telah cuba melarikan diri dan pasukan polis telah mengekori suspek dan memberi amaran supaya berhenti. Ketika cubaan melarikan diri, motosikal yang ditunggang laju oleh suspek telah terbabas.

“Suspek mengalami kecederaan dan polis telah menghubungi hospital untuk mendapatkan bantuan ambulans. Bagaimanapum, pegawai perubatan yang bertugas mengesahkan suspek telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, HSB di sini dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat, Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana mencederakan penjawat awam dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 memiliki senjata tiruan.

— BERNAMA