Dua warga asing memakai gelang pengawasan kontak rapat Covid-19 seperti tular di laman sosial sebenarnya dalam perjalanan untuk menjalani ujian saringan kali kedua.

KUALA LUMPUR – Dua warga asing memakai gelang pengawasan kontak rapat Covid-19 seperti tular di laman sosial sebenarnya dalam perjalanan untuk menjalani ujian saringan kali kedua.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Supritendan Hazri Mohamad berkata, siasatan pihaknya mendapati berlaku salah faham sehingga mencetuskan kemarahan seorang lelaki yang merakam video berdurasi 43 saat tersebut kepada dua warga asing berkenaan.

“Pihak IPD Rembau telah menjalankan siasatan awal serta mendapati kedua-dua lelaki warganegara asing tersebut adalah pekerja di sebuah kilang dalam daerah Rembau.

“Semasa kejadian, kedua-dua lelaki itu sedang menuju ke bas yang disediakan oleh majikan bagi tujuan membawa mereka menjalani ujian saringan Covid-19 kali kedua di Klinik Kesihatan Rembau,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Hazri, polis juga telah memberi penjelasan kepada masyarakat setempat mengenai situasi sebenar bagi mengelak berlakunya kebimbangan tentang pergerakan kedua-dua warga asing tersebut.

“Ekoran itu saya dan Ketua Polis Chembong telah berjumpa dengan wakil penduduk kawasan bersama-sama lelaki yang merakam video tersebut bagi menjelaskan situasi sebenar tujuan kedua-dua lelaki wargangeara asing dilihat berjalan di kawasan tersebut,” ujarnya.

Selain itu, tambahnya Hazri, pihaknya dalam masa yang sama telah memberi amaran kepada pengurusan kilang supaya lebih bertanggungjawab dan memastikan pekerja dikuarantin disediakan kemudahan sewajarnya.-MalaysiaGazette