Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai menunjukkan barang rampasan ketika sidang media kejayaan tangkapan kes rompakan bersenjata Geng Bobot di IPD Sentul, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 17 Julai 2021.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan lima lelaki yang dikenali Geng Bobot ditahan selepas terlibat dalam kes rompakan bersenjata yang menyasarkan warga asing di sebuah rumah kedai berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur baru-baru ini.

Polis memberkas mereka yang semuanya warga tempatan yang berusia lingkungan 19 hingga 32 tahun itu dalam tempoh kurang 24 jam hasil siasatan dan risikan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, ketika kejadian Rabu lalu, suspek yang menaiki motosikal dan bersenjatakan parang serta pistol palsu itu melarikan sejumlah wang hasil penjualan ikan sejuk beku dan sayuran termasuk duit simpanan milik mangsa.

“Seramai lapan warga asing tinggal di rumah tersebut dan salah seorang mangsa iaitu lelaki warga Bangladesh telah ditetak di kepala oleh suspek dengan menggunakan sebilah parang.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Selayang bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam sidang media di IPD Sentul hari ini.

Mengulas lanjut, Eng Lai berkata, susulan tangkapan lima suspek terbabit, polis berjaya merampas wang tunai berjumlah RM51,362, tujuh buah telefon bimbit pelbagai jenama milik mangsa, dua pucuk pistol airsoft, tiga buah motosikal serta beberapa pasang pakaian yang dipercayai dipakai oleh suspek semasa melakukan rompakan.

Antara barang rampasan yang dipamerkan pada sidang media kejayaan tangkapan kes rompakan bersenjata Geng Bobot di IPD Sentul, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 17 Julai 2021.

Tambah Eng Lai, empat daripada lima suspek yang ditahan turut mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau dan mereka kini ditahan reman selama enam hari sehingga 21 Julai bagi siasatan lanjut.

Dalam pada itu, menurut Eng Lai, mangsa kejadian iaitu dua lelaki warga Bangladesh dan lima lelaki warga Myanmar turut ditahan kerana disyaki memberikan keterangan bercanggah.

“Maklumat awal yang kami terima, kerugian dialami mangsa adalah sebanyak RM50,000 tetapi apabila siasatan dilakukan salah seorang mangsa buat laporan palsu mengatakan sejumlah RM105,000 telah disamun tetapi sebenarnya tidak begitu.

“Polis merampas kira-kira RM11,000 daripada kesemua suspek yang melakukan rompakan manakala pemeriksaan di rumah mangsa menjumpai kira-kira RM40,000 wang tunai yang disorokkan.

“Kita tidak tolak kemungkinan mangsa sorok wang itu supaya nampak jumlah kerugian yang lebih besar,” ujarnya.

Jelas Eng Lai, polis turut menjalankan siasatan lanjut ke atas tujuh warga asing yang ditahan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette