Datuk Seri Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bimbang keputusan meletakkan Tabung Haji di bawah Bank Negara akan menyebabkan TH diperlakukan sebagai sebuah agensi kewangan dan tabungan semata-mata.

Cadangan tersebut, katanya, akan menyebabkan TH hilang potensi sebagai dana amanah dengan misi yang lebih besar dan mulia iaitu permedayaan ummah.

Sehubungan dengan itu, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau mencadangkan TH dijadikan sebuah ‘National Trust’ atau ‘Institusi Kepercayaan Nasional’ yang ditadbir oleh Lembaga Pemegang Amanah.

Katanya, pentadbiran TH perlu diserahkan kepada Lembaga Pemegang Amanah yang dianggotai oleh individu paling dihormati dan berwibawa, termasuk jika perlu tokoh antarabangsa.

“Saya terus risau dengan masa depan Tabung Haji. Adakah dengan meletakkan ia di bawah Bank Negara solusi terbaik untuk mengukuhkan Tabung Haji?

“Selama puluhan tahun, Kerajaan BN telah berjaya memperkasakan TH. Ia adalah agensi pengurusan jemaah haji terbaik di dunia dan institusi pelaburan umat Islam yang canggih dan mampan.

“Kerajaan BN telah dengan jayanya menterjemahkan idea besar Almarhum Profesor Di Raja Ungku Aziz, pendiri dan pengasas Tabung Haji,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Menurut Mohamad, masalah TH bukan lagi berkisar kepada soal kawal selia sebaliknya ia berkaitan kepimpinan terbaik, amanah dan kompeten.

Lebih penting lagi, tegas beliau, masa depan TH bukan pada meletakkan ia di bawah Bank Negara.

“Masa depannya ialah pada kepimpinan yang boleh membongkar potensinya sebagai dana amanah dan pemberdayaan paling produktif untuk ummah.

“Saya mengajak umat Islam menyatakan pendirian tegas agar, Kerajaan mengembalikam TH ke peranan strategiknya semula , selaras dengan semangat penubuhan Tabung Haji itu sendiri , Insha Allah,” katanya.

Di awal hantarannya itu, Mohamad berkata, kepelbagaian pelaburan TH telah menjadikan ia lebih besar dan lebih hebat dari hanya “satu tabungan yang bebas daripada unsur riba dalam membantu umat Islam menunaikan fardu haji”.

Melalui TH, katanya, jutaan umat Islam menikmati kos haji yang terendah di dunia, tidak membebankan dan dengan perkhidmatan haji yang terbaik.

Beliau berkata, TH adalah dana mahsul yang sangat strategik kepada kepentingan umat Islam di negara ini.

Kelmarin Kementerian Kewangan dalam kenyataannya berkata, Kabinet bersetuju dengan penyenaraian TH sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan di bawah seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia. – MalaysiaGazette