Gelagat orang awam yang disyaki positif Covid-19 beratur panjang seawal pagi bagi melakukan penilaian kesihatan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), Dewan Sukan MPK, Taman Sri Andalas, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 13 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menasihatkan agar kerajaan mencari kawasan yang sesuai untuk menempatkan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Andalas di Klang.

Ia perlu memandangkan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham bahawa Varian Delta boleh dijangkiti dalam masa 15 saat sahaja.

“Carilah tempat yang lebih sesuai bagi CAC ini. Takkan nak biarkan pesakit terus beratur panjang depan rumah orang lain setiap kali ada lonjakan kes baharu?

“Pada yang sama, kenapa kita boleh buat masa appointment bagi lawatan ke pusat vaksinasi tetapi sistem yang sama tidak boleh digunakan bagi pesakit Covid yang perlu perhatian di pusat CAC supaya mereka tidak perlu beratur berjam-jam lamanya?” soal bekas Perdana Menteri itu hari ini.

Pada Khamis lalu, Dr. Noor Hisham menjelaskan jangkitan varian baharu Covid-19 termasuk varian Delta boleh merebak dengan cepat dalam masa hanya 15 saat melalui udara.

Malah, katanya, jangkitan melalui udara akan meningkatkan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti yang menyebabkan peningkatan kes harian.

Mengulas lanjut, Najib berkata, kenyataan itu jelas menimbulkan rasa kurang senang penduduk sekitar CAC Andalas.

“Adakah penduduk berdekatan tidak rasa tak selesa dan marah jika pesakit Covid terus dibiarkan beratur panjang di depan rumah mereka?

“Mengikut ramalan KKM terbaru, keadaan Covid hanya akan mula reda pada bulan November,” katanya lagi.

Pihak berkuasa kesihatan Negeri Selangor pada Selasa lalu berkata CAC Andalas akan dipindahkan berdasarkan kepada penilaian semula yang dibuat pihaknya.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Indera Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, penilaian semula itu dilakukan berdasarkan kepada rungutan penduduk setempat yang menyifatkan penempatan CAC tersebut tidak sesuai kerana berhampiran rumah penduduk serta laluan utama keluar masuk ke taman berkenaan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Penduduk merungut: CAC Andalas akan dipindahkan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast