Home Seni Hidup OCPD Kuantan tolong tolak kereta rosak

OCPD Kuantan tolong tolak kereta rosak

KUANTAN – Seorang pemandu wanita tergamam apabila dihampiri sekumpulan polis apabila kenderaan yang dipandunya rosak di tepi jalan utama simpang menghala ke Jambatan Tanjung Lumpur hari ini.

Pada sangkaannya beliau akan disaman namun perkara di sebaliknya berlaku apabila beberapa anggota polis turun dari kenderaan dan menghulurkan pertolongan menolak keretanya ke tepi jalan.

Itulah aksi spontan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali dan anggotanya yang dirakam ketika dalam perjalanan menziarahi dan menyantuni masyarakat sekita Tanjung Lumpur hari ini.

Turut membantu menolak kereta jenis Viva itu, seorang penunggang motosikal yang betugas sebagai penghantar makanan.

Mohamad Noor kemudiannya berkata, sudah menjadi tanggungjawab polis melindungi keselamatan dan ketenteraman awam namun sentiasa menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan.

ACP Mohamad Noor Yusof Ali

“Wanita dalam kereta tadi kelihatan terkejut kerana bimbang disaman tapi sebenarnya kami risau kenderaan di tengah jalan boleh membahayakan nyawanya dan pengguna jalan raya lain.

“Kita pihak polis bukan sahaja mendokong Op Bantu yang dilancarkan bahkan sentiasa membantu semua lapisan masyarakat agar semua dilindungi dan bersama dalam komuniti,” katanya kepada MalayasiaGazette selepas menyampaikan bantuan Ziarah Prihatin IPD Kuantan kepada komuniti di sekitar Tanjung Lumpur hari ini.

Ketika diminta mengulas keprihatinan masyarakat dengan banyaknya wujud pusat pengumpulan makanan, beliau menyokong usaha murni tersebut namun menasihati agar semua mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

ARTIKEL BERKAITAN :

Penduduk Tanjung Lumpur serbu ‘food bank’

Warga Kuantan dapat ikan percuma secara pandu lalu

“Saya sedia maklum masyarakat juga makin terbuka dalam pengumpulan bank makanan kepada mereka yang memerlukan namun perlu diingat semua pihak perlu memaklumkan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah.

“Ini bagi memastikan dalam kita menjadi masyarakat prihatin dan membantu sesama kita, melakukan usaha yang baik dan keadaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang wabak Covid-19 daripada terus menular.

“Kepada mana-mana pihak yang ingin mengadakan aktiviti food bank ini, setiap hari pihak PKOB mengeluarkan senarai yang mengeluarkan senarai food bank dan kehadiran orang ramai perlu mengamalkan protokol kesihatan.

“Pengusaha bank makanan ini juga perlu memastikan membantu dalam kawasan terdekat yang bersasar dalam kawasan tertentu sahaja supaya terkawal dan bantuan mudah sampai,” katanya. -MalaysiaGazette