Program Imunisasi Covid-19 Wilayah Persekutuan di Labuan menunjukkan perkembangan yang sangat positif sejak program vaksin itu diletakkan di Fasa 4 Kawalan Wabak.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Program Imunisasi Covid-19 Wilayah Persekutuan di Labuan menunjukkan perkembangan yang sangat positif sejak program vaksin itu diletakkan di Fasa 4 Kawalan Wabak.

Sehingga semalam, seramai 61,215 orang atau 89.4 peratus daripada warga Labuan yang berumur 18 tahun ke atas telah menerima vaksin sekurang-kurangnya dos pertama.

Dalam masa yang sama, 40,711 orang atau 59.4 peratus telah melengkapkan dos kedua.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata, jumlah itu bersamaan dengan 61.5 peratus bagi keseluruhan populasi Labuan yang telah divaksinkan bagi dos pertama manakala 40.9 peratus keseluruhan populasi telah melengkapkan dos kedua.

“Dijangkakan WP Labuan akan mencapai imuniti kelompok dengan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk berumur 18 tahun ke atas melengkapkan kedua-dua dos dan 95 peratus dos pertama vaksin COVID-19 menjelang akhir bulan Julai 2021,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, jumlah kes dan kadar jangkitan di Wilayah Persekutuan berkenaan setakat ini berjaya dikurangkan.

Begitu juga tambahnya, penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang menurung kepada 50 peratus berbanding 100 peratus sebelum ini.

“Dengan sistem yang sistematik bagi kawalan penyakit berdasarkan risiko dan program vaksinasi yang terancang, jumlah kes telah berjaya dilandaikan daripada kadar jangkitan R-naught (rt) melebihi 2 pada awal wabak sehinggalah mencatatkan R-naught (rt) 0.8 pada 16 Julai lalu.

“Pengunaan katil ICU juga telah menurun daripada lebih 100 peratus kepada sekitar 50 peratus penggunaan sahaja manakala kapasiti pengunaan wad dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) juga dapat dikurangkan sehingga masing masing sekitar 53 peratus dan 37 peratus penggunaannya,” tambahnya.

Sementara itu beliau berkata, sebanyak tujuh buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedang beroperasi di WP Labuan setakat ini, termasuk PPV Pandu Lalu (drive-thru).

Untuk rekod, Program Imunisasi Covid-19 Wilayah Persekutuan (WP) Labuan telah pun memasuki Fasa 4 pelaksanaannya sejak Fasa 1 pelaksanaan pada 27 Februari 2021 yang lalu.-MalaysiaGazette