Najmil Faiz (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd. Rawi

KLANG – Yayasan Kebajikan Ihsan (YKI) tampil menghulurkan bantuan peralatan bernilai RM45,000 kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang dalam usaha mengurangkan beban hospital itu memerangi wabak Covid-19.

Pengerusi YKI, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, peralatan itu melibatkan mesin penapis air, pelitup muka pembedahan, kerusi, cecair pembasmi kuman, Vitamin C dan bakul spesimen darah.

Beliau berkata, sumbangan itu merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang mendapat kerjasama banyak syarikat korporat antaranya, Pharmaniaga Berhad, 5tech Service Engineering Sdn. Bhd., Yusenviro dan Damanyu Marketing Sdn. Bhd.

“Sumbangan ini merupakan sokongan YKI kepada petugas barisan hadapan di HTAR yang kini sedang berperang dengan jumlah pesakit Covid-19 yang semakin ramai.

“Diharapkan bantuan peralatan yang diberikan dapat mengurangkan beban kepada mereka yang boleh digunakan jika memerlukan secara mendesak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd. Rawi di hospital berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan 5Tech Service Engineering Sdn. Bhd., Dato Ida Suraya Mustapha, Pengarah Urusan,m Yusenviro dan Pengarah Damanyu Marketing, Sham Mohd. Noor.

Bantuan peralatan bernilai RM45,000 kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimahcdi Klang.

HTAR sebelum ini berdepan proses mengendalikan pertambahan jumlah mayat, susulan wabak Covid-19 di Selangor ketika ini.

Hospital itu terpaksa menerima tambahan dua lagi kontena daripada Kementerian Kesihatan yang menjadikan keseluruhan empat kontena bagi menempatkan mayat, termasuk satu kontena masing-masing disumbangkan oleh MIC Pusat dan satu lagi milik sedia ada jabatan berkenaan yang boleh memuatkan 120 mayat.

Mengulas lanjut, Najmil Faiz mengalu-alukan penglibatan syarikat korporat untuk memberi sumbangan kepada YKI bagi meneruskan program CSR pada masa akan datang.

Jelas beliau, YKI sebelum ini turut membantu menghulurkan sumbangan kepada hospital lain antaranya Hosspital Angkatan Tentera Tuanku Mizan sejak pandemik Covid-19 menular di negara ini.

Sementara itu, syarikat atau individu yang ingin bekersama dengan YKI boleh menghubungi talian +6017-3777555 atau sumbangan boleh disalurkan kepada Yayasan Kebajikan Insan di akaun Affin Bank – 100040234710. – MalaysiaGazette