Petugas Kesihatan mengendalikan jenazah pesakit Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 17 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan kes kematian baharu tertinggi hari ini dengan 153 kes, menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 7,019 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu 125 adalah warganegara, manakala 28 bukan warganegara, sekali gus mengatasi jumlah kematian semalam yang dilaporkan 138 kes.

Menurut beliau, jumlah kes baharu menunjukkan penurunan iaitu 10,710 dengan kes sembuh baharu yang direkodkan sebanyak 5,778 kes.

“Jumlah kumulatif kes sembuh ialah 784,949 kes iaitu 85.6 peratus, manakala kumulatif kes baharu meningkat kepada 916,561 kes dan kes aktif sebanyak 124,593 kes.

“Kes tempatan pula mencatatkan 10,698 kes dengan 8,579 warganegara dan 2,119 bukan warganegara, manakala kes import 12 kes iaitu masing-masing enam warganegara dan bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah kes baharu, 95 kes atau 0.9 peratus berada dalam kategori 5 iaitu kritikal dan menggunakan ventilator.

Manakala 45 kes atau 0.4 peratus kategori 4 memerlukan bantuan oksigen dan 91 kes atau 0.8 peratus adalah kategori 3 iaitu radang paru-paru.

Katanya, bagi kategori 2 iaitu gejala ringan sebanyak 4,162 kes atau 38.9 peratus dan kategori 1 (tiada gejala) sebanyak 6,317 kes atau 59.0 peratus.

“Secara keseluruhannya, 2.1 peratus kes yang dilaporkan berada pada kategori 3, 4 dan 5. Meskipun peratusan tidak tinggi, tetapi harus diambil perhatian kerana kes kategori 5 memerlukan purata tempoh jagaan di ICU selama 21 hari.

“Kes kategori 4 pula purata tempoh jagaan selama 14 hari dan kategori 3 memerlukan penjagaan serta pemerhatian di hospital terutama bagi yang berisiko tinggi.

“Tempoh masa lama diperlukan bagi kes ini untuk diberi jagaan di wad dan ICU, mengakibatkan kapasiti katil yang sememangnya terhad menjadi semakin penuh dan sesak,” katanya.

Dr. Noor Hisham berkata, keadaan itu akan terus membebankan sistem kesihatan terutama di ICU, hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Oleh itu, Dr. Noor Hisham menasihatkan orang ramai agar menjaga diri, keluarga dan masyarakat agar terlindung daripada dijangkiti Covid-19.

Beliau juga menggesa orang ramai segera mendaftar dan mendapatkan vaksin Covid-19 agar dapat melindungi diri dan semua. – MalaysiaGazette