KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengecam keras pihak yang menyalahgunakan nama penjawat awam bagi tujuan kepentingan diri dan golongan tertentu.
Presidennya, Adnan Mat berkata, pihaknya kesal tindakan daripada gerakan yang kononnya mewakili kumpulan penjawat awam mendesak Yang di-Pertuan Agong ‘merehatkan’ tugasan Perdana Menteri dan Ahli-ahli Jemaah Menteri serta mewujudkan ‘caretaker government’ yang diterajui Ketua Setiausaha Negara.
Beliau menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana menggunakan nama dan cuba mengheret penjawat awam bagi mencapai tujuan tertentu sehingga boleh mencetuskan kegelisahan awam.
Kenyataan itu, katanya, yang dipetik daripada akaun Facebook Gerakan Kakitangan Awam Malaysia sama sekali tidak mewakili suara kira-kira 1.7 juta penjawat awam di seluruh negara.
“Sebagai penjawat awam, kami semua tetap berpegang teguh kepada konsep keneutralan dan profesionalisme serta menghormati prinsip pembahagian kuasa bagi memastikan kedaulatan undang-undang dapat dipertahan dalam menjunjung Perlembagaan Persekutuan.
“Mewujudkan ‘caretaker government’ seperti yang disarankan merupakan satu langkah sukar untuk dilaksanakan dan tidak mampu menyelesaikan masalah.
“Malaysia sejak sekian lama telah mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan pembahagian kuasa kepada tiga bahagian dalam pemerintahan iaitu perundangan, kehakiman dan eksekutif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Apatah lagi, kata Adnan, kerajaan ketika ini sedang giat melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Kata beliau, sebarang usaha yang boleh mengganggu kejayaan program itu hanya akan mengheret negara dalam situasi tidak menentu, sekali gus memberi kesan buruk kepada rakyat.
“Kita berharap polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyiasat pemilik atau pengendali sebenar akaun Facebook yang menggunakan nama Gerakan Kakitangan Awam Malaysia.
“Tindakan tegas dan berat perlu diambil oleh individu terlibat bagi memastikan kejadian sama tidak berulang lagi sehingga mencetuskan ketidaktenteraman awam.
“Orang ramai juga diminta tidak berkongsi atau menyebarkan kenyataan tersebut sama ada di media sosial atau medium perhubungan lain supaya tidak mengelirukan masyarakat,” katanya.
Menurut Adnan, pihak berkuasa perlu memastikan akaun media sosial tersebut ditutup bagi menjaga nama baik penjawat awam.
Katanya, tugas dan fokus penjawat awam hanya tertumpu kepada khidmat bakti yang tidak berbelah bahagi kepada raja, negara, rakyat dan kerajaan yang memerintah.
“CUEPACS sekali lagi berharap dan menasihatkan mana-mana pihak tidak mengambil kesempatan menggunakan nama penjawat awam untuk tujuan politik atau pun mencetuskan perbalahan.
“Kita turut menyeru supaya semua ahli politik baik di pihak kerajaan atau pembangkang bersatu hati dalam menguruskan pandemik Covid-19 yang berlaku di negara ini agar wabak berkenaan dapat dibendung dan kebajikan rakyat dibela.
“Sebarang usaha untuk mengganggu gugat keamanan dan perebutan kuasa di masa Covid-19 sedang melanda dan rakyat sedang sengsara perlulah dielakkan buat masa ini,” ujarnya.
Beliau berkata, PICK telah berjaya memastikan setiap hari 400,000 rakyat diberi suntikan dengan strategi penambahan pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.
CUEPACS yakin dengan strategi itu dapat mencapai sasaran 80 peratus rakyat diberi suntikan akan berjaya membentuk imuniti kelompok pada hujung tahun ini.
PICK, ujar beliau, mula menunjukkan keberkesanan apabila kes Covid-19 yang berlaku mencatatkan penurunan ketara bagi kes jangkitan kategori 3, 4 dan 5.
“Kebanyakan kes Covid-19 yang dilaporkan kebanyakan melibatkan kategori 1 dan 2. Data menunjukan di Wilayah Persekutuan Labuan apabila suntikan dos kedua telah meningkat, kes di ICU dan kematian telah mula menurun.
“Inilah kajian dan data yang membuktikan bahawa suntikan Covid-19 berkesan melawan penyakit terutama mengurangkan implikasi yang teruk sehingga menyebabkan kematian.
“Justeru, sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawa kita perlu fokus kepada kawalan kendiri dan lebih berdisiplin dalam mematuhi SOP dan serta mengamalkan norma hidup baharu,” katanya. – MalaysiaGazette