DENGKIL – Ujian saringan Covid-19 secara percuma yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Selangor di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak membantu mengurangkan kes harian yang tinggi ketika ini.
Ahli Dewan Negeri Dengkil, Adhif Syan Abdullah berkata, langkah itu hanya akan menambahkan angka kes positif di negeri tersebut, sekaligus menyukarkan usaha mencapai komuniti imuniti menjelang Oktober ini.
“Trend peningkatan kes Covid-19 di Selangor ini, salah satu sebab adalah kebanyakan wakil rakyat di Selangor ini buat ujian saringan secara percuma.
“Saya agak gusar bila ujian saringan percuma ini, ia bagus untuk komuniti tapi dari segi angka, dia menaikkan data kes positif Covid-19,” katanya kepada pemberita di Balai Raya Kampung Orsng Asli Bukit Tadom, hari ini.
Terdahulu beliau menyantuni masyarakat Orang Asli Bukit Tadom yang menerima vaksin Covid-19 daripada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak Pusat Kesihatan Daerah Kuala Langat.
Sebaliknya Adhif Syan menyarankan Kerajaan Negeri Selangor menggiatkan pemberian vaksinasi berbanding ujian saringan yang hanya menimbulkan kegusaran awam.
“Saya sarankan kepada wakil rakyat dalam kerajaan negeri Selangor ini agar hentikan dulu swab test, kita tumpu kepada vaksin, pemberian vaksin itu lagi penting.
“Swab test ini bagi saya selepas kita dapat sasar untuk masyarakat di sekitar Selangor dan Lembah Klang ini boleh buat secara bersasar,” katanya.
Adhif Syan tidak menafikan varian baharu iaitu Delta kini sudah berjangkit pada penduduk negara ini dan usaha vaksinasi perlu dilakukan segera.
“Varian baharu memang kuat dan sudah ada dalam masyarakat kita, negara kita, sebab itu kena jaga kebersihan dan SOP.
“Suka atau tidak, mahu atau tidak mahu, kita sudah hidup dalam varian baharu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette