Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, G. Gunarajah turut hadir ke Program Vaksinasi COVID-19 ketika di Pusat Kebudayaan Soka Gakkai Malaysia, Taman Desawan, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 18 JULAI 2021.

KLANG – Taman Desawan di Klang pernah disenaraikan antara lokaliti yang akan diletakkan bawah pengawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ini kerana, hasil laporan KKM sebelum ini mendapati lebih 100 kes positif Covid-19 dilaporkan dalam tempoh sebulan.

Bagaimanapun, dalam proses persiapan untuk pelaksanaan PKPD, kes positif Covid-19 di taman itu menunjukkan trend penurunan, maka langkah ketat itu tidak dilaksanakan.

Berikutan itu, bagi menyelamatkan nyawa penduduk, kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa melancarkan Program Vaksinasi Covid-19.

Dua hari lalu, program vaksinasi dibuka di Premiere Hotel, Klang, menjadikan dua pusat vaksinasi disediakan dalam DUN Sentosa, iaitu kawasan yang merekodkan kes tertinggi positif Covid-19.

Menurut ADUN Sentosa, G. Gunarajah, ada sebanyak 1,053 keluarga melibatkan 2,500 hingga 3,000 penduduk di Taman Desawan itu.

“Kita jadikan dewan Pusat Kebudayaan Soka Gakkai di taman ini sebagai pusat vaksinasi bagi memastikan semua penduduk di sini menerima vaksin.

“Kerajaan negeri menyediakan kira-kira 3,000 dos vaksin di pusat vaksinasi ini dan kita harap semua mereka keluar mendapatkan vaksin,” katanya ketika ditemui media di pusat itu di Taman Desawan, hari ini.

Menurut beliau, hasil daripada bancian MPK minggu lalu, seramai 1,800 penduduk telah mendaftar dan menjangkakan mencecah lebih 2,000 hari ini, apabila kelonggaran diberikan kepada mereka yang ‘walk-in’ ke pusat berkenaan.

Kata G. Gunarajah, pihaknya menyasarkan lokaliti itu kerana ada banyak kes positif dan kematian dilaporkan sebelum ini.

“Program khas ini dijadikan projek perintis oleh kerajaan negeri dan agensi kerajaan untuk membantu vaksinasi semua penduduk di taman ini.

“Adanya pusat vaksinasi setempat ini, penduduk tidak perlu merentas daerah untuk keluar dari kawasan mereka mendapatkan vaksin kerana kita sediakan di kawasan berdekatan tempat tinggal mereka,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Soka Gakkai Malaysia kerana memberi sokongan dengan membenarkan bangunannya digunakan untuk program vaksinasi demi keselesaan penduduk.

Katanya, jika projek perintis itu berjaya, beliau akan mencadangkan kepada kerajaan negeri agar menjadikan dewan itu sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan dibuka berterusan. – MalaysiaGazette