KUALA TERENGGANU – Seekor penyu agar jantan ditemukan mati terdampar di Pantai Kuala Abang, Dungun, semalam.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, penyu berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun itu ditemukan penduduk kampung pada 9 pagi sebelum membuat laporan kepada jabatan berkenaan.

“Bangkai penyu itu didapati telah mula reput dengan anggota badan haiwan itu membengkak manakala usus sudah keluar dari bahagian belakang badan. Penyu itu dipercayai mati kira-kira seminggu lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ruzaidi berkata, tiada sebarang kecederaan akibat khianat seperti kesan jerutan tali atau kesan hentakan ditemukan di kepala penyu itu.

Beliau berkata, pihaknya sudah menerima 24 laporan mengenai kematian penyu tahun ini termasuk penyu itu.

Orang awam boleh memaklumkan kepada Pejabat Daerah Perikanan terdekat atau menghubungi talian 03-88885019 sekiranya menemukan penyu hidup atau mati, katanya. – Bernama