Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) tetap meneruskan komitmennya dengan memperuntukkan hampir RM15.9 juta tahun ini merangkumi penajaan kemudahan
pembelajaran atas talian, kelengkapan asas persekolahan murid dan aktiviti seperti bengkel, tuisyen serta persiapan peperiksaan.

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sejak 2013 syarikat utiliti itu telah menaja dan melaksanakan pelbagai program di peringkat sekolah bagi memupuk generasi masa depan dan meringankan beban keluarga B40 terutama di
kawasan luar bandar.

“Bermula dengan Program Sekolah PINTAR yang diinspirasikan Khazanah Nasional, kami telah dapat mengasah pencapaian akademik, bakat dan kecemerlangan menyeluruh lebih 4,088
pelajar di sekolah terpinggir,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelas beliau, sebanyak 11 sekolah luar bandar di seluruh negara terpilih untuk program yang sama pada tahun ini dengan bantuan RM315,000 untuk aktiviti antaranya kem motivasi, kelas tuisyen,
seminar dan bengkel peperiksaan.

Tajaan TNB memberi peluang kepada murid-murid meningkat keperibadian (self development) dan prestasi akademik mereka, ujarnya.

Tambah beliau, bagi tempoh 2021 hingga 2023, aktiviti-aktiviti yang dijalankan di kesemua 11 sekolah angkat PINTAR akan melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM945,000.

Katanya, di bawah Program Sekolah Amanah (Trust School) pula, TNB membelanjakan RM32 juta selama lima tahun atau RM6.4 juta setahun untuk program tranformasi pendidikan di lapan
sekolah terpilih di Perak, Terengganu, Selangor dan Kelantan.

Menurut Mahdzir, usaha sama TNB dan Kementerian Pendidikan serta Yayasan Amir, di bawah Khazanah Nasional ini memberi manfaat kepada 6,991 pelajar di sekolah-sekolah pinggir bandar.

‘’Bagi membantu murid-murid dari keluarga miskin bandar di sekitar Ibu pejabat TNB di Bangsar pula, kami telah mengambil inisiatif memberikan elaun bernilai RM1,500 setahun untuk setiap pelajar sejak 2018. Sehingga 2020, sebanyak RM513,000 bantuan ini telah pun dimanfaat 150 pelajar.

“Elaun tahunan ini diberikan untuk tempoh tiga tahun sejak mereka di tingkatan tiga lagi. Seramai 150 pelajar akan menerima elaun ini dengan peruntukan berjumlah RM675,000
dalam tempoh tiga tahun ini bermula 2021,” katanya.

Beliau memberitahu, TNB juga menyokong usaha merapatkan ruang digital menerusi penyediaan laptop, tablet dan talian data untuk 150,000 pelajar sekolah menengah di bawah tajaan Tabung Cerdik (CERDIK) anjuran Yayasan Hasanah dengan TNB merupakan sebahagian penaja utama dengan sumbangan bernilai RM5 juta kepada 3,165 pelajar daripada RM150 juta jumlah tajaan keseluruhan kepada 150,000 pelajar.

Bagi program Ceria Ke Sekolah, seramai 30,000 murid keluarga B40 telah dan bakal menerima sumbangan kelengkapan persekolahan dengan peruntukan RM3 juta tahun ini, katanya.

“Untuk 2021 juga, kami telah memperuntukkan RM395,000 untuk menyumbangkan cermin mata percuma kepada lebih 1000 pelajar sekolah rendah dan menengah di bawah Program
Better Brighter Vision (BBV).

“Program ini telah pun membolehkan 1,324 pelajar dari keluarga B40 mengikuti pelajaran mereka dengan lebih baik sejak diperkenalkan pada tahun 2019. Insya Allah, kami akan teruskan lagi BBV tahun ini sebaik sesi sekolah dibuka semula.

“Untuk tahun ini juga, TNB turut memberikan pelbagai bentuk tajaan pendidikan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada lebih 96 sekolah di seluruh semenanjung bagi menjayakan pelbagai aktiviti sekolah dengan nilai sumbangan RM536,000 sehingga Jun 2021,” kata Mahdzir. – MalaysiaGazette