Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid menyampaikan bakul makanan menyampaikan bantuan kepada penduduk klang pada Program Bantuan Makanan di Bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) Peringkat Parlimen Kapar di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Klang, Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI, 19 JULAI 2021.

PELABUHAN KLANG – Kira-kira 80 peratus penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Klang kini merupakan golongan miskin bandar.

Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, daripada jumlah itu, 79.6 peratus merupakan orang Melayu dan kadar itu semakin meningkat sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, Mac tahun lalu.

“Sudah tiba masanya kita sedar bahawa sekarang ini penduduk di Selat Klang di mana Melayu berjumlah hampir 80 peratus yang miskin bandar.

“Ini tidak boleh dinafikan lagi kebanyakan mereka sudah tidak mempunyai pekerjaan tetap. Mereka terpaksa digantung pekerjaan atau dibuang kerja,” katanya kepada MalaysiaGazette di Kampung Delek Baru, hari ini.

Terdahulu beliau menyerahkan 100 bakul makanan kepada penduduk Pulau Ketam, di sini, yang terputus bekalan makanan selepas mengibarkan bendera putih, baru-baru ini.

Sebanyak 13 jenis barang keperluan asas yang disediakan Pejabat Parlimen Kapar termasuk beras, sardin, gula, minyak masak, bihun dan sebagainya.

Dalam pada itu, kebanyakan penduduk Selat Klang yang terjejas sebelum ini dalam kategori M40 dan selepas hilang pekerjaan mereka kini jatuh ke kategori B40.

“Ini kategori M40 sudah jatuh B40 dan ini berlaku di Selat Klang ini dan majoritinya adalah orang-orang Melayu.

“Ada Cina dan India, tapi hampir 79.6 peratus penduduk Melayu dan 60 peratus daripada sumbangan telah saya salurkan untuk sumbangan itu terus kepada mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette