Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz diminta berhenti daripada mengelirukan rakyat mengenai saiz Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) yang diumumkan kerajaan selama ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Faiz Fadzil berkata, dakwaan menteri itu kononnya PRE setanding dengan ngara maju adalah tidak berasas sama sekali.

Katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada UMNO, Pas dan Bersatu tidak pernah berbelanja secara mencukupi untuk menyokong ekonomi negara.

Jelas beliau, walaupun kerajaan menyatakan nilai PRE setakat ini RM530 bilion, hakikatnya hanya RM83 bilion atau kurang daripada enam peratus nilai keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia yang disuntik daripada kantung kerajaan.

Ini jauh lebih rendah dengan apa yang diumumkan oleh negara maju lain seperti USA 26.3 peratus, Singapura (20%), New Zealand (19.3%), Australia (19.1%) dan United Kingdom (17.8%).

“Oleh itu, dakwaan suntikan 20 peratus nilai KDNK Malaysia adalah meleset sama sekali.

“Lebih menyedihkan, hampir 57 peratus iaitu RM300 bilion daripada nilai PRE RM530 bilion dibayar oleh rakyat, bukan kerajaan, manakala RM210 bilion daripada sumber moratorium, RM90 bilion daripada KWSP termasuk pengeluaran Akaun 1 dan 2.

“Ini tidak termasuk RM58 bilion nilai i-Sinar yang telah diumumkan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Faiz yang juga Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, perinciran pengeluaran KWSP melalui i-Citra ialah RM30 bilion, i-Lestari RM40 bilion, potongan caruman KWSP iaitu pakej PRIHATIN RM10 bilion dan Program Khidmat Rundingan Majikan RM10 bilion.

Bagi moratorium pula, perincirannya adalah moratorium penuh pertama RM100 bilion, moratorium penuh kedua RM80 bilion, moratorium bersasar RM30 bilion.

Katanya, langsung tidak masuk akal bagi kerajaan secara senyap memaksa rakyat menggunakan duit mereka untuk menolong diri sendiri tatkala krisis ekonomi melanda.

“Moratorium pinjaman tidak membantu kerana peminjam terpaksa membayar faedah dalam tempoh moratorium.

“Tidak seperti kerajaan Hungary, bukan sahaja moratorium berlangsung secara berterusan dari Mac 2020 sehingga Ogos 2021, faedah juga digantung dalam tempoh itu.

“Inilah contoh kerajaan yang prihatin terhadap rakyat. Apa yang ada di Malaysia tidak lebih daripada moratorium “banker jaga banker”,” tegasnya.

Justeru, kata Faiz, kerajaan perlu telus untuk melaporkan amaun yang dibelanjakan hanya RM83 bilion dalam PRE.

Menurut beliau, kerajaan perlu mendedahkan jumlah sebenar ini dalam Parlimen untuk dibahaskan secara tuntas kerana hakikatnya, ia terlalu kecil jika dibandingkan dengan skala penguncupan ekonomi negara.

Kerajaan katanya, tidak wajar memasukkan anggaran jumlah pengeluaran KWSP dan nilai moratorium dalam nilai PRE yang sebenarnya lebih rendah daripada diumumkan kerana bukan semua rakyat mengeluarkan wang KWSP.

“Ini juga akan menyebabkan amaun yang disuntik ke dalam ekonomi lebih rendah daripada yang sepatutnya. Akibatnya, strategi pemulihan ekonomi akan kurang berkesan dan rakyat akan terus merana,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast