Gambar hiasan

PENGUMUMAN YAB Perdana Menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 diteruskan lagi menunjukkan kesungguhan pihak kerajaan dalam mencegah penularan wabak COVID-19. Penularan dalam komuniti yang semakin meningkat dan kewujudan varian baharu yang lebih agresif dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi menyebabkan usaha untuk melandaikan lengkung jangkitan dijangka mengambil masa yang lebih panjang.

Selaras dengan pelaksanaan PKP 3.0 dan bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam kekal berfungsi di tahap yang memuaskan dan cekap, dan pada masa yang sama memastikan keselamatan dan kebajikan pegawai Perkhidmatan Awam dipelihara, Ketua Setiausaha Negara telah menetapkan bahawa pengoperasian pejabat-pejabat kerajaan akan dilaksanakan secara hibrid melalui keberadaan di pejabat dan Bekerja Dari Rumah (BDR).

Penetapan kehadiran ke pejabat pada tahap 20% keseluruhan (tidak termasuk perkhidmatan frontliners) dan 80% secara BDR dengan penggiliran menyebabkan sebahagian besar daripada penjawat awam akan berada di rumah sepanjang PKP 3.0 ini. Situasi ini melahirkan dua reaksi yang berbeza iaitu ada sebahagiannya yang “seronok” dengan BDR, manakala sebahagian lagi dalam dilema untuk melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya dalam kekangan yang pelbagai.

Maka dalam situasi ini, integriti para penjawat awam bakal teruji dan pastinya akan menterjemahkan kualiti amanah dan tanggungjawab dalam tugasan yang dimiliki oleh penjawat awam di Malaysia.

Bagi penjawat awam yang beragama Islam, seharusnya pekerjaan yang menjadi asas dan punca rezeki ini dilaksanakan dalam konteks beribadah kepada Allah SWT. Malah dalam konteks seorang muslim, seluruh aspek kehidupannya perlu dikaitkan dengan ibadah kepadaNya.

Ibadah bukan sekadar mendirikan solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Sekiranya hanya solat dianggap ibadah, ia tidak lebih setengah jam sahaja daripada 24 jam sehari. Sedangkan waktu yang paling banyak dihabiskan seharian adalah dalam melakukan pekerjaan.

Dalam memastikan seluruh pekerjaan menjadi ibadah, terdapat tiga syarat yang perlu dipenuhi iaitu, pertama: Niat bekerja hanyalah kerana Allah SWT semata-mata. Sewajarnya bagi setiap pekerja untuk memperbaharui niat pada setiap hari di awal waktu memulakan pekerjaan dengan mengikhlaskan diri bekerja kerana Allah SWT. Ikhlas dalam pekerjaan ini diterjemahkan dengan melaksanakan amanah dan tanggungjawab tugasan yang diberikan dengan sebaiknya, kerana meyakini bahawa Allah SWT sentiasa melihat segala amalan perbuatan kita.

Daripada Umamah RA berkata, bahawa telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW dan bertanya, “Apakah pendapat tuan tentang seseorang yang berperang dengan tujuan mencari pahala dan kemasyhuran diri, dan kelak apa yang akan dia peroleh?” Kemudian Rasulullah SAW menjawab, “Dia tidak mendapatkan apa-apa!” Pertanyaan yang sama diulang sebanyak tiga kali, namun jawapan Rasulullah SAW tetap sama, “Dia tidak menerima apa-apa!” Lalu Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak menerima sesuatu amalan, kecuali yang ikhlas dan hanya mengharapkan redha dari Allah” (Hadith Riwayat Imam Abu Daud dan Al-Nasa’ie).

Kedua: Pekerjaan yang dilakukan mestilah menepati syarak iaitu tidak bercanggah dengan mana-mana kaedah hukum syarak. Dalam konteks penjawat awam, amat diyakini bahawa semua pekerjaan yang ada adalah selari dengan hukum syarak. Namun, kaedah pelaksanaannya terdedah kepada ketidakpatuhan kepada hukum syarak seperti kecuaian yang disengajakan, penipuan, penindasan, dan akan menjadi lebih parah apabila melibatkan rasuah dan penyelewengan. Wajib bagi setiap anggota penjawat awam untuk memastikan pekerjaan yang dilakukannya dilaksanakan dengan penuh integriti dan beramanah.

Dalam konteks BDR sempena PKP 3.0, perlu bagi setiap penjawat awam memberikan perhatian sewajarnya kepada aspek ini. Keberadaan di rumah adalah untuk melaksanakan tugasan yang telah ditetapkan dan tidak sewajarnya pada waktu bekerja tersebut melakukan pekerjaan yang lain sehingga mengabaikan tanggungjawab hakiki kerja.

Melaksanakan BDR dengan amanah dan berintegriti tidaklah bermaksud terikat berterusan daripada 8.00 pagi sehingga 5.00 petang di meja kerja. Fleksibeliti pelaksanaan BDR ini masih meraikan tugasan lain di rumah seperti membantu anak-anak dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), menguruskan kebersihan rumah, memenuhkan keperluan keluarga dan juga hal ehwal rumah tangga.

Ketiga, matlamat sesuatu pekerjaan adalah untuk kebaikan, seperti mencari nafkah keluarga, memenuhi kelangsungan kehidupan dan seumpamanya. Sudah menjadi lumrah, ada pekerja yang kuat dalam ibadahnya tetapi ketika melakukan pekerjaan, terdapat perlakuan yang boleh membatalkan nilai ibadah dalam pekerjaannya seperti perbuatan maksiat, culas dalam menepati masa, tidak menyelesaikan tanggungjawab bahkan ada yang terlibat dengan penyelewengan dan sebagainya.

Dalam situasi ini, sifat amanah dan bertanggungjawab perlu diterapkan dan dipraktikkan oleh setiap individu yang bekerja. Ini bagi memastikan setiap pekerjaan yang dilakukan menepati matlamat dan tujuan yang telah ditetapkan. Inilah kualiti sebenar seorang pekerja muslim yang perlu diterapkan dalam diri setiap penjawat awam.

Manakala kegagalan dalam menunaikan amanah dan tanggungjawab merupakan suatu pengkhianatan yang jelas bagi matlamat sesuatu pekerjaan, sepertimana amaran keras oleh Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)” (surah al-Anfal: 27).

Rasulullah SAW juga mengingatkan umatnya bahawa mengkhianati amanah adalah merupakan ciri kemunafikan yang perlu dijauhi. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasullullah SAW bersabda; “Terdapat tiga tanda munafiq: Apabila bercakap ia berbohong, apabila berjanji ia memungkirinya dan apabila diberi amanah ia mengkhianatinya”. (Hadith Riwayat Imam al-Bukhari).

Secara lazimnya, azam serta komitmen yang tinggi dalam menjaga amanah yang diberikan pastinya akan mendorong seseorang untuk melakukan sesuatu kerja dengan lebih tekun dan bersungguh-sungguh. Dedikasi dalam pekerjaan akan diterjemahkan dengan mencurahkan seluruh masa, tenaga dan pemikirannya untuk memperolehi hasil kerja yang terbaik dan berkualiti. Hasilnya, seorang itu akan dihormati dan dikenali sebagai pekerja muslim yang baik serta menjadi contoh kepada masyarakat termasuk kepada orang bukan Islam.

Budaya bekerja seperti inilah yang dicintai oleh Allah SWT, sebagaimana hadith daripada Aisyah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda; “Sesungguhnya Allah SWT menyukai apabila seseorang kamu melakukan sesuatu pekerjaan, dia melakukannya dengan tekun” (Hadith Riwayat Imam al-Baihaqi).

Bagi merealisasikan komitmen dalam penjagaan amanah penjawat awam, beberapa perkara perlu diberi perhatian seperti menjaga waktu bekerja, memastikan matlamat utama pekerjaan tercapai serta tidak terjebak kepada penyelewengan seperti pecah amanah, rasuah dan juga penyalahgunaan kuasa.

Cerminan daripada sifat ini juga dapat dilihat dengan melakukan pekerjaan dengan sebaik mungkin, menggunakan seluruh keupayaan diri, potensi dan kepakaran yang dimiliki dalam melaksanakan tugas yang diberikan tanpa sebarang pengabaian, kecuaian dan penyelewengan. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tunaikanlah amanah kepada orang yang telah menyerahkan amanah (kepercayaan) kepadamu dan jangan engkau khianati orang yang telah mengkhianatimu” (Hadith Riwayat Imam Abu Daud dan al-Tirmidzi).

Kesimpulannya, perkhidmatan penjawat awam yang terbaik ialah apabila ia disulami sifat ikhlas, takwa dan amanah serta menepati prinsip-prinsip ajaran Islam yang sebenar. Pekerja yang mempunyai sifat amanah akan sentiasa menghargai dan menepati masanya, dan sama sekali tidak akan mengabaikan kualiti kerja yang dilakukan, bahkan ia akan berusaha memperbaiki diri bagi mendepani cabaran yang mendatang.

Firman Allah SWT: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan” (Surah al-Taubah: 105).

Sejarah telah membuktikan sifat amanah dan tanggungjawab yang dimiliki junjungan mulia Nabi Muhammad SAW telah menyebabkan baginda dinobatkan dengan gelaran ‘Al-Amin’ dalam masyarakat Arab. Contoh tauladan yang baginda tunjukkan ini wajar dijadikan panduan kepada seluruh penjawat awam di Malaysia.

Mohd Ashrof Zaki Yaakob
Pengarah
Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF)
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Shah Alam, Selangor

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast