Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) diiringi Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (tiga kanan), Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Muez Abd Aziz (dua kiri) dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang (dua kanan) menyempurnakan gimik perasmian pada Program MINDEF Prihatin di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 19 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Kadar kompuan yang dikenakan kepada syarikat mahupun kilang yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) akan kembali kepada RM1,000 selepas Ordinan Darurat ditamatkan pada 1 Ogos lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kadar yang rendah itu menyebabkan kilang atau syarikat  tidak takut untuk membuka premis perniagaan kerana keuntungan yang mereka perolehi lebih tinggi.

“Kalau kompaun RM1,000 memang syarikat tak takut langsung, sebab itu setiap malam dan setiap hari saya umumkan kelab malam dan pub yang tidak pernah dibenarkan buka sejak PKP 1.0 lagi tetapi setiap hari ada sahaja pub dan kelab malam diambil tindakan.

“Tapi kalau setakat RM1,000 tidak ada apa apa untuk mereka, mungkin mereka buat keuntungan berpuluh-puluh ribu satu malam dengan cara buka secara haram, jadinya mereka boleh bayar RM1,000 kompaun itu,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian selepas merasmikan program “MinDef Prihatin”di Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan telah meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Berdasarkan paparan di e-Warta Persekutuan, menerusi Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan pada 25 Februari lalu, kompaun maksimum RM50,000 dikenakan kepada syarkat atau pertubuhan yang melakukan kesalahan berkuat kuasa 11 Mac lalu.

“Ramai masih berpandangan RM50,000 itu tidak cukup, dan Darurat akan tamat pada 1 Ogos ini bermakna selepas itu kita kena balik semula kepada Akta 342 yang lepas dengan kompaun RM1,000,” katanya lagi.

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) semalam mendesak kerajaan untuk menjatuhkan hukuman lebih tinggi ke atas majikan yang melanggar SOP dalam menangani Covid-19

Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata ada beberapa syarikat yang mengabaikan keselamatan pekerjanya dan ini memberikan gambaran buruk kepada majikan lain di seluruh negara. – MalaysiaGazette