Semoga dengan selawat melimpah rahmat Allah hingga wujud rasa tenang pada jiwa dan aman pada negara.

DENGAN kekuatan muafakat komuniti yang turut disertai pelbagai golongan cerdik pandai dalam pelbagai bidang, sebaiknya bersama merangka program dan sistem agar dapat membantu ekonomi masyarakat.

Mereka yang minat berniaga dibantu dengan modal dan latihan serta juga memberi pekerjaan yang sesuai dengan kebolehan mereka.

Saya amat menyokong kempen yang dijalankan kini iaitu Tabung Jumaat Prihatin, memberi sumbangan RM10 pada setiap Jumaat yang mulia (sempena barakah penghulu hari) kepada semua badan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam negara, bahkan luar negara yang aktif membantu masyarakat di mana jua khususnya dalam komuniti masing-masing.

Bagaimanapun, sumbangan pada hari lain tetap digalakkan.

Apabila masyarakat memberi sumbangan secara istiqamah setiap hari Jumaat, sudah pasti badan atau NGO di komuniti anda dan di mana jua akan miliki dana yang cukup untuk membantu masyarakat.

Ia boleh bersifat seperti baitulmal dalam komuniti, bukan sekadar membantu keperluan asas, tetapi boleh membayar rumah sewa yang tertunggak, bil, kos perubatan, pendidikan, membantu modal bina usahawan dan juga memberi pinjaman tanpa riba agar masyarakat tidak berhutang dengan Ah Long yang pasti mengambil kesempatan dalam saat ini.

Wujudkan kerjasama dengan agensi kerajaan seperti badan kebajikan, latihan usahawan, institusi kewangan, pusat zakat, para pemimpin dan lain-lain agar dapat memudahkan urusan menjayakan program komuniti.

Semoga amalan selawat dan infaq pada hari Jumaat disemarakkan. Semoga dengan selawat melimpah rahmat Allah hingga wujud rasa tenang pada jiwa dan aman pada negara.

Bersama kita berdoa agar wujudnya kestabilan politik, terangkatnya wabak Covid-19 dan ekonomi negara kembali pulih.

Kita juga berdoa agar seluruh rakyat bersatu dalam menangani krisis ini, memberi teguran dengan penuh adab jika dilihat ada kelemahan pihak kerajaan dalam menangani dan memberi kesetiaan kepada Seri Paduka Baginda sebagai khalifah dalam memimpin negara ini.

Baba Redhauddin

Penulis, Baba Redhauddin adalah Ketua Umum Nahdhatul Ulama’ Malaysia (NA’AM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast