Dua pemain bola sepak kontinjen Afrika Selatan muncul dua atlet pertama Olimpik disahkan positif Covid-19 kali ini dan dikuarantin ketika ini.

TOKYO – Dua pemain bola sepak Afrika Selatan menjadi atlet pertama diuji positif Covid-19 di perkampungan Olimpik, di sini, lima hari sebelum temasya sukan itu membuka tirai.

Persatuan Bola Sepak Afrika Selatan mengesahkan Thabiso Monyane dan Kamohelo Mahlatsi positif Covid-19.

Pengalisa video pasukan Afrika Selatan, Mario Masha juga dikesan positif virus itu pada Sabtu lalu dan pasukan itu dikuarantin sementara menunggu saringan seterusnya pada minggu ini.

Seorang lagi atlet di luar perkampungan Olimpik turut disahkan positif pada semalam.

“Kita ada tiga kes positif Covid-19 di kem sini yang mana dua daripadanya pemain dan seorang adalah pegawai,’ kata pengurus pasukan bola sepak Afrika Selatan, Mxolisi Sibam.

“Terdapat saringan harian dilaksanakan di perkampungan sukan Olimpik ini termasuk ujian suhu badan dan air liur sementara Masha dan Monyane mengalami demam panas beruhu tinggi dan positif ujian air liur.

“Kedua-dua mereka dibawa untuk menjalani ujian calitan hidung dan malangnya disahkan positif,” katanya.

Sementara itu, jurulatih pasukan ragbi Afrika Selatan, Neil Powell juga disahkan positif Covid-19 pada semalam selepas tiba di Jepun dan kini diasingka di Kagoshima di mana pasukan itu berkampung.

Dalam pada itu, enam atlet dan dua kakitangan dari kontinjen England dikuarantin selepas dikesan sebagai kontak rapat selepas mendarat di Tokyo 16 Julai lalu.

Secara keseluruhan, Jepun melaporkan 10 kes baharu Covid-19 melibatkan pengamal media, kontraktor dan pegawai semalam berbanding 15 kes harian terbaharu seharin sebelum itu.

Kadar jangkitan meningkat dalam kalangan penduduk di Tokyo mencecah 1,000 kes baharu untuk empat hari berturut-turut. -MalaysiaGazette