KUALA LUMPUR – Dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi beberapa lokaliti di Terengganu, Pahang dan Sabah.
Tempoh dua minggu PKPD itu ditetapkan bermula 21 Julai hingga 3 Ogos ini berdasarkan penilaian risiko dan trend jangkitan Covid-19, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, lokaliti itu ialah Bandar Cheneh Baru dan Felda Neram 2 di Mukim Bandi, Kemaman, Terengganu.
Katanya, 10 lokaliti dalam mukim Kuala Dungun, Terengganu juga turut dikenakan PKPD iaitu Kg. Sungai Buaya, Kg. Tanah Lot, Kg. Lembah, Kg. Padang Jambu, Kg. Nibong, Kg. Bukit Chatak Tengah, Kg. Molek, Kg. Bijangga, Kg. Sungai Udang dan Kg. Sungai Penaga.
“Di Pahang pula melibatkan tiga lokaliti dalam mukim Ulu Dong, Raub iaitu Kampung Bedu, Kampung Temalian dan Kampung Pamah Kulat.
“Turut diletakkan dalam pelaksanaan PKPD bermula Rabu ini ialah Kampung Marau, Sipitang, Sabah; Kampung Pituru Kinarut, Papar, Sabah; dan Kampung Meruntum, Putatan, Sabah.
“Empat lokaliti dalam daerah Kota Kinabalu juga dikenakan PKPD iaitu Jalan Kampung Likas Simpang 3, Api-Api Centre Kota Kinabalu, Taman Ujana Kingfisher, Likas dan Kampung Salut, Telipok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Manakala di Sipitang, Sabah melibatkan Kampung Kebawang dan dua lokaliti dalam daerah Penampang pula membabitkan Beverly Hills Fasa 2 dan Cybercity Fasa 2.
Kata Ismail Sabri, dua lagi lokaliti di Pahang ialah Kampung Kabang dan Kampung Sat dalam mukim Ulu Jelai, Lipis.
Sementara itu, ujar beliau, sidang khas MKN juga bersetuju untuk melanjutkan tempoh PKPD bagi Penjara Sungai Udang, kecuali Kuarters Penjara di Melaka Tengah, Melaka, yang dilanjutkan selama dua minggu lagi dari 21 Julai hingga 3 Ogos ini.
Beliau turut mengumumkan beberapa lokaliti yang ditamatkan PKPD mulai esok, iaitu Kg. Bagus, Rantau Panjang, Kelantan; Kg. Mambong di Kuching, Sarawak; Kg. Baru Batu 2 Jalan Apas di Tawau, Sabah; Kg. Ejuk di Kota Belud, Sabah; dan Kg. Warisan, Kota Kinabalu, Sabah.
PKPD Kawasan Perindustrian Indahpura serta tujuh Lokaliti dalam Kawasan Perindustrian Senai, Kulai, Johor turut ditamatkan bermula esok.
Ia melibatkan Kawasan Industri Senai Fasa 1, Kawasan Industri Senai Fasa 2, Kawasan Industri Senai Fasa 3, Kawasan Industri Senai Fasa 4, Taman Perindustrian Senai dan Taman Perindustrian Murni Senai.
Kata beliau, tempoh PKPD bagi Senai Airport City (SAC) juga ditamatkan bermula esok, walaupun mengikut jadual asal tamat pada 22 Julai ini. – MalaysiaGazette