Selain kelonggaran boleh dine-in, bilangan penumpang kenderaan tidak lagi dihadkan kepada dua individu sahaja kepada penduduk negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).- Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang mengingatkan orang ramai untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan tidak merentas negeri atau daerah sempena Hari Raya Aidiladha yang akan disambut esok.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, sekatan jalan raya (SJR) masih dijalankan seperti biasa dan individu yang mahu berurusan di luar daerah atau negeri perlu mengemukakan dokumen atau surat yang sah.

Mohd Shuhaily.

Jelas beliau, sebanyak 46 SJR dijalankan di negeri ini dan dalam tempoh dua hari bermula Sabtu sebanyak 230 kenderaan diarah patah balik.

“Seperti arahan Ketua Polis Negara, sesiapa yang tidak mempunyai dokumen sah akan diarah berpatah balik dan segala urusan perlu mempunyai surat atau dokumen yang dibenarkan.

“Tidak perlu bertanya alasan patah balik atau sebagainya, alasan adalah berdasarkan ketidakpatuhan SOP,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Tambah Mohd Shuhaily, mana-mana pihak yang ingin melaksanakan ibadah korban juga perlu mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri.

“Orang ramai dinasihatkan mematuhi SOP dikeluarkan kerajaan bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19,” ujar beliau. – MalaysiaGazette