Pegawai Kebajikan Masyarakat Subang Jaya, M.A Ramacantiran. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 JULAI 2021.

SERDANG – Ada dalam kalangan individu positif Covid-19 tetapi datang menyerahkan barang kepada ahli keluarga yang dikuarantin ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (PKRC Bersepadu MAEPS 2.0).

Demikianlah antara cabaran yang dihadapi oleh para petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di PKRC berkenaan, kata Pegawai Kebajikan Masyarakat, M.A Ramacantiran.

Menurutnya, perkara sebegitu sepatutnya tidak berlaku sekiranya tidak ada yang mementingkan diri sendiri.

“Saya akui tindakan itu bagus tapi dia tidak boleh keluar dari rumah. Ada juga ahli keluarga yang tidak mendedahkan status mereka.

“Janganlah pentingkan diri sendiri saya faham mereka mahu memastikan ahli keluarga mereka di sini selesa tapi pada masa yang sama ahli keluarga itu perlu fikir petugas JKM pun ada keluarga dan terdedah dengan risiko. Jadi jangan tambah risiko kami.

“Saya harap perkara ini tidak berulang lagi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Untuk rekod, anggota JKM di PKRC MAEPS 2.0 berperanan untuk menyerahkan barangan yang dikirim oleh ahli keluarga pesakit Covid-19 di situ.

Selain itu, beliau berkata, cabaran yang dihadapi oleh petugas JKM di PKRC itu juga apabila barang yang dikirim oleh ahli keluarga melebihi kapasiti yang sepatutnya.

Ujarnya, barangan keperluan yang diserahkan kadangkala terlalu banyak sehingga mengakibatkan proses serahan mengambi masa.

“Kebelakangan ini kami perhatikan penghantaran barang dari keluarga agak keterlaluan di mana ahli keluarga hantar terlalu banyak. Sebab lazimnya, pesakit akan berada di PKRC ini maksimum 10 hari, bergantung kepada tahap kesihatan mereka

“Tetapi barang yang dihantar seumpama keperluan untuk satu bulan, terlalu banyak. Daripada segi makanan, pakaian dan bagasi terlalu besar. Pesakit terima satu hingga tiga beg,” tambahnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast