Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong mengadakan perjumpaan secara maya bersama syarikat e-hailing mengenai program vaksinasi membabitkan program vaksinasi pengusaha dan pemandu e-hailing hari ini.- Gambar FB

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan telah mengarahkan semua agensi penguat kuasa di bawahnya mengumpul nama-nama pemandu dan penunggang khidmat e-hailing bagi tujuan program vaksinasi.

Menterinya, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, pihaknya juga menjalin kerjasama rapat dengan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam usaha mencapai imunisasi berkelompok seawal mungkin membabitkan penyedia dan pengusaha pengangkutan.

“Dengan adanya kerjasama semua pihak, pemandu kenderaan awam di bawah jagaan Kementerian Pengangkutan akan dapat menerima vaksin mereka selewat-lewatnya pada penghujung bulan Ogos nanti,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Ka Siong mengadakan perbincangan secara maya dengan pihak pengurusan syarikat penyedia khidmat e-hailing iaitu Grab.

Menurut beliau, perjumpaan secara hibrid itu bertujuan membincangkan progres pemberian vaksin ke atas pemandu-pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing.

“Sekitar 100,000 pemandu e-hailing dan 50,000 penunggang p-hailing yang berkhidmat dengan Grab sekarang.

“Sebagai sebahagian daripada anggota perkhidmatan barisan hadapan, mereka juga perlu diberi keutamaan dalam pemberian vaksin bagi memastikan keselamatan pemandu, penunggang dan pelanggan.

“Sepertimana yang saya umumkan sebelum ini, proses penjadualan pemberian vaksin bagi pemandu teksi, e-hailing dan penunggang p-hailing sudah pun bermula, di mana kumpulan pertama yang bakal menerima vaksin melibatkan 41,488 pemandu teksi dan e-hailing serta 11,527 penunggang p-hailing,” ujarnya.

Ka Siong memahami sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sektor pengangkutan merupakan perkhidmatan perlu yang beroperasi 24 jam dalam memastikan kelangsungan hidup rakyat selain memastikan pergerakan barangan dan penumpang tidak terjejas.

“Menyedari hakikat itulah, saya telah mengarahkan agensi-agensi di bawah Kementerian saya untuk mengumpulkan nama-nama pemandu dan penunggang E-hailing untuk tujuan vaksinasi.

“Kita juga bekerjasama dengan CITF untuk memastikan imuniti berkelompok menerusi proses vaksinasi dapat dicapai seawal mungkin oleh MOT,” tegas beliau.- MalaysiaGazette