Ahmed Razman berkata, isu utama yang melanda TH adalah penglibatan individu-individu yang mempunyai kepentingan politik di dalam institusi berkenaan.

KUALA LUMPUR- Tiada jaminan Lembaga Tabung Haji (TH) bebas daripada cengkaman kuasa politik selepas entiti itu diletakkan sebagai sebuah institusi kewangan bawah Akta Perkhidmatan Islam 2013 yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, isu utama yang melanda TH adalah penglibatan individu-individu yang mempunyai kepentingan politik di dalam institusi berkenaan.

Jelasnya, permasalahan yang melanda TH sejak tahun 2014 bukan disebabkan oleh sistem tadbir urus yang tidak teratur sebaliknya campur tangan politik.

“Ada satu yang saya lihat amat ketara adalah campur tangan  daripada pihak tertentu yang mempunyai kepentingan politik dan menyebabkan setiap mekanisme atau pun stuktur tadbir urus TH dari aspek pengurusan kewangan digangu-gugat hingga menyebabkan objektif TH tidak tercapai.

“Apakah meletakkan kawal selia di bawah BNM dapat mengurangkan campur tangan politik?

“Saya lihat tidak, sebab ianya masih ada lagi ada campur tangan daripada Menteri Kewangan dan Menteri Agama,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Apa yang lebih penting, menurut Dr. Ahmed Razman, BNM juga pernah terpalit isu campur tangan politik sebelum ini sekali gus tidak memberi jaminan penambahbaikan itu akan membuahkan hasil yang baik.

“Walaupun BNM yang mengawal bank-bank komersial dan ianya mengetahui berlaku pemindahan wang melibatkan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) namun akibat campur tangan yang kuat daripada politik, maka BNM tidak lagi menjadi satu badan yang berkesan menangani isu tadbir urus sesebuah institusi kewangan.

“Maka apa jaminan bahawa kali ini BNM dalam memastikan salah laku tadbir urus yang tidak betul di bawah TH?” soalnya.

Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 12 MAC 2019

Dr Ahmed Razman berkata, penambahbaikan itu juga akan menjadi lebih rumit jika pasukan pengurusan, ahli lembaga pengarah atau majlis penasihat TH terdiri daripada orang bukan Islam atau individu yang tidak berkemahiran.

Ini bakal memberi kesan negatif kepada jaminan simpanan pendeposit serta polis-polisi sedia ada TH yang mungkin akan diubah untuk diselarikan mengikut institusi kewangan di bawah BNM, katanya.

“Mereka mungkin tidak kacau aktiviti utama TH tetapi terdapat kebarangkalian yang mereka akan mengganggu dengan cara memberi nasihat, pandangan atau cuba mempengaruhi lembaga pengarah untuk melantik pihak pengurusan yang tidak berkemahiran.

“Mungkin juga akan wujud agenda lain yang boleh membuka satu ruang untuk mempengaruhi corak pengurusan TH. Ini yang saya bimbang. Tambahan pula jika Menteri Kewangan, wakilnya atau wakil BNM sendiri bukan orang Islam.

“Ini pun akan menimbulkan masalah,” katanya lagi.

Menurut Dr. Ahmed Razman, keadaan itu tidak mempunyai perbezaan dengan urus tadbir TH sebelum ini yang mana arahan masih dikeluarkan oleh kerajaan (kuasa politik) tetapi kali ini ditambah dengan satu lagi arahan daripada Menteri Kewangan.

Secara kesimpulan, beliau berkata, penambahbaikan TH yang diumumkan kerajaan baru-baru ini tidak memberi jaminan yang urus tadbir TH akan dilaksanakan secara telus apatah lagi selepas kehadiran dua menteri dalam satu organisasi.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kajian semula model operasi untuk tambah baik tadbir urus TH – Tengku Zafrul