Kapal korek yang terbakar berhampiran Pulau Indah menyaksikan 11 kru kapal terdiri daripada warga Indonesia dan China berjaya diselamatkan dan dipindahkan ke daratan berhampiran dalam kejadian hari ini.

KLANG – Sebuah kapal korek, MV SHI Xian 156 terbakar dalam kejadian di kedudukan lebih kurang 0.3 batu nautika Sungai Chondong Besar, Pulau Indah hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor, Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 12.48 tengah hari tadi.

Katanya, sebaik menerima aduan, bot Maritim Malaysia telah digerakkan ke lokasi kejadian bersama Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta bot peninjau Lembaga Pelabuhan Klang bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat termasuk membuat kawalan keselamatan di lokasi.

“Kapal tersebut telah membawa 11 orang kru, empat daripadanya warga Indonesia manakala tujuh lagi warga China. Kesemua kru dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan dan dipindahkan dari kapal terbakar itu ke daratan terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Rosli, kerbakaran berjaya dikawal sepenuhnya oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam tempoh lebih kurang enam jam.

“Setakat ini tiada tumpahan minyak dilaporkan berlaku dan Maritim Malaysia akan membuat pemantauan berterusan. Maritim Malaysia menasihatkan agar komuniti maritim sentiasa peka mengenai keselamatan di laut dan bersiap sedia dengan sebarang kejadian yang tidak diingini di laut bagi mengelak kehilangan nyawa serta harta benda,” katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam,” tegas beliau.-MalaysiaGazette