IMBAS KEMBALI. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) diiringi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin (kanan) melihat pekerja asing yang ditahan semasa melakukan serbuan kilang pembuatan logam pada Op Patuh di Bandar Parklands, Bukit Tinggi, Klang, Selangor pada 17 Julai 2021. Foto SYAFIQ AMBAK.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh daripada segi pemeriksaan ke atas kilang dan premis perniagaan bagi membendung pengingkaran prosedur operasi standard (SOP).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,  langkah itu dikuatkuasakan berikutan terlalu banyak perlanggaran arahan kerajaan dan SOP dikesan.

“Semalam, Pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan sebanyak 83,215 pemeriksaan dan pemeriksaan mengejut Covid-19 ke atas sektor perkilangan dan premis perniagaan di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 19,567 orang.

“Ia termasuk pemeriksaan ke atas 1,970 buah kilang, 16,530 premis perniagaan, 1,031 tapak pembinaan dan 272 buah asrama penempatan pekerja,” katanya yang juga Menteri Pertahanan menerusi kenyataan hari ini.

Hasil daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 38 premis termasuk kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.- MalaysiaGazette