Sekumpulan penjenayah yang menyasarkan rumah sunyi untuk disamun sebagai modus operan di sekitar Kapar di Klang akhirnya tumpas.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan penjenayah yang menyasarkan rumah sunyi untuk disamun sebagai modus operan di sekitar Kapar di Klang akhirnya tumpas.

Kumpulan dianggotai empat lelaki dan seorang wanita yang mempunyai pertalian keluarga itu ditahan pada Rabu lalu, kata Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh.

Menurutnya, kesemua suspek berjaya ditahan di sekitar kawasan Bukit Kapar, Kapar dan Setia Alam.

Berdasarkan maklumat yang diterima polis, seorang suspek lelaki berjaya ditahan di sebuah rumah di Bukit Kapar.

“Siasatan ke atas suspek pertama itu kemudian membawa kepada penangkapan dua lagi suspek lelaki di sekitar Kapar. Ia kemudian disusuli tangkapan seorang wanita di Taman Seri Wangi dan seorang lagi suspek lelaki di Plaza Tol Setia Alam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nurulhuda, kesemua suspek yang ditahan berumur lingkungan 20 hingga 30-an.

Menurutnya, siasatan dijalankan mendapati modus operandi mereka menyasarkan rumah yang tidak ramai penghuni dan tiada kenderaan untuk dirompak.

“Siasatan dijalankan mendapati mereka akan tinjau dahulu rumah yang dijadikan sasaran, beberapa suspek akan standby manakala beberapa suspek lagi akan memanjat pagar untuk masuk ke dalam rumah  sebelum mereka memulakan menyamun.

“Kesemua suspek menutup muka menggunakan baju dan salah seorang suspek akan bersenjatakan pisau,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Semakan rekod lampau mendapati empat suspek lelaki mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah kekerasan.

“Kesemua suspek itu kini direman untuk siasatan selanjutnya,” katanya.-MalaysiaGazette