Pemberian dos vaksin kepada rakyat Malaysia dan warga asing diteruskan sehingga mencapai imuniti kelompok.

PEKAN – Seorang warga emas mengucapkan rasa syukur selepas  menerima lengkap dua dos vaksin Covid-19 hari ini.

Zabedah Najib, 60, berkata, setiap hari beliau menghitung hari untuk melengkapkan dos vaksin kedua selepas menerima suntikan pertama pada 30 Jun lalu.

Beliau merupakan antara 717 penerima dos kedua vaksin Sinovac yang ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan.

Zabedah yang tiba dengan kerusi roda hadir bersama anak perempuannya seawal 9 pagi tadi.

“Kalau pertama kali dulu memang takut tapi setelah terima dos pertama rasa tak takut dan tak sabar pulak nak terima dos kedua,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Zabedah Najib,

Justeru Zabedah turut menasihatkan warga emas sepertinya jangan takut untuk mendapat suntikan vaksin dan jangan mempercayai dakyah-dakyah yang memburukkan vaksin Covid-19.

“Kalau ada berita tak elok atau memburukkan vaksin, jangan percaya berita tak betul. Ambillah vaksin untuk keselamatan diri sendiri dan keluarga kita,” ujarnya.

Dalam pada itu, sebanyak 28 peratus penduduk Pekan sudah mendapatkan vaksinasi bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaaan di daerah itu.

Fauzi Shafie sedang disuntik oleh petugas kesihatan.

Sementara Mohd Fauzi Shafie, 58, pula menyifatkan penerimaan vaksin merupakan langkah terbaik untuk rakyat di negara ini membendung jangkitan pandemik.

Beliau yang juga mengambil dos kedua hari ini berkata, dia tidak mendapat sebarang simptom selepas menerima dos pertama.

“Semuanya baik-baik, alhamdulillah,” ujarnya sambil akur dengan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mematuhi prosedur operasi standard walaupun sudah lengkap dos.

Bagi Pegawai Perubatan KKM, Nur Ili Aqilah Azzemi, kesedaran terhadap kepentingan mengambil vaksin semakin meningkat malah Pekan merupakan antara daerah tertinggi yang sudah menerima perlindungan imunisasi itu.

Nur Ili Aqilah Azzemi

“Di Pekan, ada empat PPV,  selain di sini, PPV turut dibuka di Dewan LKM, Dewan Semai Bakti Felda Chini dan di Dewan JKK Nenasi.

“Kehadiran penerima vaksin semakin bertambah baik atas sebab kesedaran penduduk Pekan terhadap kepentingannya,” tambahnya.

Setakat ini, kaedah laluan terus (walk-in) masih belum diadakan di daerah ini kerana masih ada mempunyai senarai menunggu.

Selain itu, KKM juga bergerak ke luar sehingga menjangkau penduduk di Kampung Gumum dan kawasan banjir di Temai untuk proses vaksinasi, kata Ili Aqilah. – MalaysiaGazette