Brian McFeeters

KUALA LUMPUR – Kenyataan Duta Amerika Syarikat (AS) ke negara ini, Brian McFeeters kononnya hubungan Washington-Kuala Lumpur jauh lebih baik sekarang berbanding 10 tahun lalu dianggap pelik.

Menurut sumber yang enggan dikenali, beliau cukup terkejut dengan kenyataan seumpama itu.

“Pada saya, ini tidak lebih dari cari publisiti agaknya. Boleh minta Duta AS untuk cerita dengan terperinci tentang apa yang cuba disampaikan?

“Pada hemat saya, kenyataan itu seolah-oleh memperkecilkan segala usaha antara Malaysia dan AS sebelum ini dengan mendedahkan hubungan lebih baik kini.

“Sebelum ini, kita telah lakukan pelbagai inisiatif dari pelbagai aspek termasuklah pelaburan, pendidikan dan juga ekonomi. Adakah beliau bermaksud hubungan kita dengan AS ini tidak baik sebelum ini?

“Adakah beliau juga bermaksud penyandang jawatan Menteri Luar sebelum ini telah gagal menjalankan tugas mereka? Pelik betul saya malah saya rasa rata-rata warga Wisma Putra sebelum ini juga mungkin kena tempiasnya,” kata sumber itu lagi.

Beliau mengulas kenyataan McFeeters dalam satu interbiu dengan akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini yang menyatakan hubungan Washington-Kuala Lumpur jauh lebih baik sekarang berbanding 10 tahun lalu.

McFeeters yang baru sahaja beberapa bulan lepas dilantik sebagai duta baharu AS menggantikan Kamala Shirin Lakhdhir berkuat kuasa 26 Februari lalu.

Malah duta itu berharap kesibukan Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein perlu dibantu oleh orang di sekelilingnya untuk menjalankan tugasnya sebagai menteri.

Mengulas kenyataan itu pula, sumber berkenaan mendakwa duta berkenaan seolah-olah mendakwa pegawai Wisma Putra sekarang sekarang tidak berkebolehan untuk membantu tugas menteri.

“Ingat ya, untuk makluman umum sebelum ini ketika era pentadbiran bekas Presiden AS, Barack Obama dan Donald Trump, hubungan kita cukup baik sekali, adakah ini tidak membuktikan apa-apa?” soalnya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau berkata, Trump pernah menjemput Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri pada masa itu untuk satu sidang mesyuarat di White House.

Jemputan dan kunjungan seperti itu sudah lebih dari bukti peranan dua hala yang telah dimainkan oleh pimpinan negara pada masa itu malah pelbagai pelaksanaan perkongsian secara komprehensif melalui rundingan berkala.

Malah Obama juga pernah berkunjung ke Malaysia dan Kuala Lumpur juga pernah menerima tiga Setiausaha Negara AS berbeza iaitu Hillary Clinton, John Kerry and Rex Tillerson.

Kata pegawai kanan itu, beliau boleh ingat bagaimana Obama tampil memuji peranan yang dimainkan pemimpin negara khasnya di Wisma Putra termasuk Menterinya, Datuk Seri Anifah Aman dalam proses perdamaian Bangsamoro di selatan Filipina.

Hasil proses itu akhirnya termeterai perjanjian komprehensif di wilayah autonomi Islam negara itu baru-baru ini.

“Obama dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut meraihkan kejayaan program Fulbright English Teaching Assistant (ETA) yang jika umum masih ingat ianya penyertaan 14 orang guru didatangkan khas dari AS.

“Program yang berjalan sekian lama terpaksa pula dihentikan secara tiba-tiba kerana pandemik Covid-19 menyerang kita.

“Bagaimana pula dengan inisiatif lain seperti lapan pusat Lincoln Corners di enam negeri di Malaysia, dan Kuala Lumpur berperanan sebagai tuan rumah bagi ratusan program pendidikan dan mempromosikan hubungan antara Malaysia dan Amerika Syarikat?

“Sebenarnya jika saya hendak cakap banyak juga yang telah dicapai oleh kita dengan pimpinan sebelum ini jadi sememangnya apa yang cuba disampaikan oleh Duta McFeeters ini sukar difahami sebenarnya,” ujarnya.

Justeru beliau berharap apa yang diperkatakan kononnya hubungan dua hala antara negara adalah lebih baik berbanding 10 tahun lalu akan diperbetulkan.

“Sungguh mengelirukan apa yang dikatakan oleh beliau dalam temuramah itu sekaligus mengguris hati ramai pihak,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kalau dia kata baik maka sebelumnya kurang baik, tetapi dia kata lebih baik maka sebelumnya baik okay.

Comments are closed.