KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Pasukan Task Force Operasi Pematuhan mengarahkan sebanyak 25 premis melibatkan kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan ditutup berkuatkuasa serta merta.
Ini kerana premis berkenaan didapati gagal mematuhi SOP selain melanggar arahan kerajaan dalam operasi yang dilakukan semalam di seluruh negara.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan tidak lagi berkompromi dengan kedegilan pemilik premis terbabit dan mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh.
“Penguatkuasaan itu daripada segi pemeriksaan ke atas kilang dan premis perniagaan kerana kita dapati terlalu banyak perlanggaran arahan kerajaan dan SOP yang telah diwartakan.
“Semalam, Pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melakukan sebanyak 68,921 pemeriksaan dan snap check Covid-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 18,351 orang.
“Ia termasuk pemeriksaan ke atas 1,556 kilang, 11,369 premis perniagaan, 416 tapak pembinaan dan 145 asrama penempatan pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, kata Ismail Sabri, semalam juga seramai 420 individu telah ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kata beliau, daripada jumlah itu, 332 individu dikenakan kompaun, manakala 82 direman dan enam lagi telah dijamin.
“Kita sentiasa mengingatkan orang ramai agar mematuhi SOP yang ditetapkan dan mengamalkan kawalan kendiri dalam usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya.- MalaysiaGazette