KUALA LUMPUR – Penduduk daerah Seremban, Negeri Sembilan yang diletakkan bawah pengawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 9 Julai lalu mampu menarik nafas lega apabila tempoh itu tamat mulai esok.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD bagi seluruh daerah itu setelah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai situasi semasa.
“Selepas mendengar pembentangan itu, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk menamatkan PKPD di seluruh daerah Seremban, Negeri Sembilan mulai esok,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Beliau berkata, dalam sidang khas MKN juga, kerajaan bersetuju untuk mengenakan PKPD di beberapa lokaliti di Pahang dan Sabah selama dua minggu mulai 23 Julai hingga 5 Ogos ini.
Lokaliti itu ialah Taman Merpati, Sandakan, Sabah; Felda Jengka 12, Jerantut; Kampung Belangkap, Rompin; dan Kampung Orang Asli Ruai, Batu Talam, Raub, Pahang.
Katanya, SOP bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my.
Sementara itu, PKPD Kampung Istimewa, Batu Sapi, Sandakan, Sabah; dan Kondominium One Borneo, Kota Kinabalu, Sabah dilanjutkan lagi selama dua minggu bermula esok hingga 5 Ogos
“Sidang khas MKN telah meneliti pembentangan KKM mengenai situasi di lokaliti PKPD ini dan setelah mengambil kira penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19, kita setuju untuk melanjutkan PKPD,” katanya.
Mengenai lokaliti yang ditamatkan, selain seluruh daerah Seremban, turut melibatkan Kuarters Pekerja Malaysia-China Industrial Park (MCKIP), Gebeng, Kuantan, Pahang; Taman Kurnia Jaya dan Taman Pinggiran Golf Dua Taman Perumahan di Kota Bharu, Kelantan.
Selain itu, Kampung Sungai Imam, Tawau, Sabah; Kampung Lembising dan Kampung Dumpil Keramat di Putatan, Sabah; Kampung Balibata, Beaufort, Sabah; dan Kampung Pintasan, Kota Belud, Sabah.
“Semua lokaliti ini tamat PKPD bermula esok,” katanya. – MalaysiaGazette