KUALA LUMPUR – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menawarkan sebanyak 1,654 tempat kepada calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia ke program Tamhidi bagi Sesi Akademik 2021/2022.

Program yang ditawarkan adalah Tamhidi Syariah dan Undang-Undang, Tamhidi Perakaunan dan Muamalat, Tamhidi Sains Fizikal dan Teknologi dan Tamhidi Perubatan, Pergigian dan Sains dan pendaftaran pelajar baharu secara dalam talian akan bermula pada 1 hingga 3 Ogos 2021.

Pengarah Pusat Tamhidi, Prof. Madya Dr. Juliana Jumal berkata, Pusat Tamhidi USIM berbesar hati melihat peningkatan penawaran ke program Tamhidi pada tahun ini.

Menurut beliau, kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) pada semester baharu nanti akan dimaklumkan dari semasa ke semasa berdasarkan situasi semasa pandemik Covid-19 yang melanda negara dan tertakluk kepada arahan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Walau apapun kaedah pengajian yang akan digunakan, Pusat Tamhidi sudah bersedia dengan mekanisme yang terbaik untuk memastikan para pelajar dapat mengikuti sesi pembelajaran dengan baik, berkesan dan sempurna, katanya.

Pelajar yang telah mendapat tawaran dikehendaki untuk membuat pengesahan setuju terima tawaran melalu sistem pendaftaran pelajar di https://etasjil.usim.edu.my bermula dari 16 hingga 26 Julai 2021.- MalaysiaGazette