Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri mengarahkan semua agensi penguatkuasaan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang dalam negara termasuk warga asing.

Ia ekoran beberapa kes pelanggaran standard prosedur operasi (SOP) termasuk dalam kalangan warga asing sejak kebelakangan ini.

Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan, bukan sahaja rakyat Malaysia malah warga asing dan pemegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) juga wajib mematuhi undang-undang di negara ini.

“Semua individu yang berada di Malaysia, wajib mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan, termasuk warga asing dan juga pemegang kad pelarian UNHCR.

“Semua pihak seharusnya memberikan kerjasama kepada anggota penguatkuasaan yang sedang menjalankan tugas bagi memastikan kedaulatan negara dan kepentingan awam dapat dipelihara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau merujuk kepada pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam kalangan warga asing baru-baru ini.

Antaranya adalah 30 warga asing termasuk seorang wanita tempatan yang menghadiri jamuan Hari Raya AidilAdha di Taman Selayang Utama, semalam.

Selain itu, sekumpulan lelaki di Taman Pelangi, Juru, Pulau Pinang semalam dipercayai menunaikan solat di kawasan tempat letak kereta sehingga ke tepi jalan.- MalaysiaGazette