Azmeer Yusof.

KUALA LUMPUR – Bekas pemain pertahanan Kedah, Azmeer Yusof menawarkan diri bagi membantu seorang lelaki yang dikenakan kompaun RM2,000 kerana ziarah kubur sempena Aidiladha di Jempol, Negeri Sembilan kelmarin.

Menerusi laman Facebook, bekas pemain berusia 31 tahun itu memohon bantuan orang ramai sekiranya mempunyai maklumat mengenai lelaki tersebut sebelum berjaya ‘menjejakinya’ beberapa jam selepas itu.

Menurut Azmeer, dia sudah menghubungi lelaki berusia 21 tahun terbabit lantas memberitahu hasrat murninya itu dan akan diselesaikan dalam masa terdekat.

“Alhamdulillah saya dah contact dengan abang yang kena saman tu. Sekarang ni abang tu dalam perjalanan ke pejabat kesihatan. InsyaAllah sebentar lagi selesai segalanya.

“Terima kasih kepada semua yang tolong cari abang tu dan mendoakan. Semoga kita semua dirahmati Allah SWT,” tulisnya.

Sementara itu, seorang pengguna Facebook bernama Syafiz Huzairi yang mengaku abang kepada lelaki itu berkongsi tangkap layar berita mengenai kompaun berkenaan. – MalaysiaGazette