Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak pernah membentangkan perbelanjaan dan pengeluaran dana parti sejak ia ditubuhkan.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, dakwaan itu turut diketahui bekas Perdana Menteri yang juga bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa bekas pemimpin parti itu.

Jelas bekas Menteri Belia dan Sukan itu, kesemua mereka juga akan tampil untuk menjadi saksi penting pada perbicaraan kes pecah amanah ke atas dirinya yang didakwa menggunakan dana Bersatu sebelum ini.

“Tidak pernah presiden parti bentang laporan kewangan termasuk perbelanjaan Pilihan Raya Kecil Tanjung (PRK) Piai dan Tun Mahathir pun tahu dana jutaan ringgit telah diberikan kepada presiden dan bendahari parti.

“Namun tidak pernah pembentangan pengeluaran dana dibuat sebelum ini dan Tun M setuju jadi saksi penting pada kes perbicaraan saya termasuk beberapa bekas pemimpin Bersatu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pendedahan secara langsung di Instagram miliknya di sini malam ini.

Pagi tadi, Syed Saddiq didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan pecah amanah membabitkan wang RM1 juta dana milik ARMADA yang merupakan sayap BERSATU.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Syed Saddiq, 29, pada 6 Mac 2020, yang ketika itu menjawat jawatan Ketua ARMADA melakukan pecah amanah jenayah ke atas dana berjumlah RM1 juta, di mana beliau membuat pengeluaran dana berkenaan melalui cek CIMB Bank Berhad bernombor 000108 tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB, Jalan Stesen Sentral, Kuala Lumpur.

Kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat serta denda.

Syed Saddiq mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan dan mohon dibicarakan.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq yang kini  merupakan pengasas Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) turut mempersoalkan tuduhan ke atas dirinya yang disifatkan tidak berasas.

Jelas beliau, ini kerana majlis kutipan dana awam yang dianjurkan pada April 2018 sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 sudah dimaklumkan di media sosial yang bertujuan untuk mencari dana buat dirinya.

Malah katanya, majlis itu turut dihadiri Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang turut menyumbang dalam dana tersebut.

Menurutnya, majlis kutipan dana itu berjaya mengumpul sebanyak RM120,000 dan tidak anjurkan di bawah tiket ARMADA.

“Jika betul untuk dana Bersatu untuk PRU, parti telah dinyahdaftar pada awal April dan akaun parti sudah digantung.

“Malah jemputan untuk majlis itu telah diuar-uarkan di media sosial dan tidak melibatkan Armada sebaliknya ia bertemakan Pertarungan Untuk Johor.

“Ia bagi mengutip dana politik saya bagi persediaan kempen PRU kerana sebelum itu saya telah dimaklumkan oleh Tun Mahathir dan Muhyiddin akan bertanding di Johor sebelum diumumkan di Muar,” katanya.

Syed Saddiq menegaskan, sekiranya beliau ingin menyalahgunakan wang parti, perkara tidak bermoral itu tidak akan dilakukan ketika parti belum menjadi kerajaan.

Sebaliknya, tegas beliau, adalah lebih baik mengumpul kekayaan dengan memegang jawatan menteri Kabinet yang mempunyai tender kontrak berbilion ringgit.

Namun kata beliau amalannya di Kementerian Belia dan Sukan di mana setiap tender yang diberikan kepada mana-mana syarikat perlu melalui sistem perolehan dan e-perolehan sebelum melalui proses tender terbuka. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Syed Saddiq mengaku tidak bersalah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. MENIKUS BUTA BISU DAN PEKAK…semasa dalam BERSATU…JIKA HEBAT BERANI KERANA BENAR sebagai ketua armada …..buat laporan polis dan sprm….kena batang hidung baru nak bongkar dan pecah dari bersatu…sandiwara sadiq sigaragar

Comments are closed.