Nadir Al Nuri

KUALA LUMPUR – Aktivis kemanusiaan Malaysia di Gaza, Nadir Al Nuri menyangkal wujud rasa dengki dan iri hati terhadap mana-mana bantuan yang dihulurkan rakyat Malaysia buat masyarakat di Gaza.

Menerusi perkongsiannya di laman Telegram, Nadir atau nama sebenarnya Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman turut berkongsi pautan video kiriman sahabatnya mengenai sumbangan daripada Ustaz Ebit Lew yang akhirnya dapat memasuki Gaza pada hari pertama Aidiladha bartu-baru ini.

“Sumbangan EL (Ebit Lew) yang dibeli di Kaherah telah masuk pada hari raya pertama bersama 300 tan bantuan lain.

“Alhamdulillah dan tahniah. Ini yang kita mahukan, maklumat tentang bantuan yang disampaikan,” tulisnya.

Menurut Presiden Persatuan Cinta Gaza Malaysia ini lagi, tidak ada gunanya berdengki dan iri hati dengan mana-mana pihak termasuk Ebit.

“Bantuan itu akan sampai kepada jiran saya, malah mungkin kaum kerabat saya sendiri di sini,” katanya.

Dalam pada itu, Nadir turut berkata, kemasukan barang keperluan itu sekali gus menjawab persoalannya sebelum ini.

“Satu persoalan dah terjawab, lepas ni kita tunggu jawapan kepada persoalan lain juga. Tahniah sekali lagi,” tulisnya.

Terdahulu, Nadir turut berkongsi mengenai integriti dan transparensi dalam perbelanjaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lagi-lagi di bumi Gaza yang dilihat sangat ketat.

“Mereka yang terlibat dengan kerja kemanusiaan tahu bahawa pendaftaran di bawah Pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS) hanya menuntut dihantar penyata kewangan tahunan.

“Pengurusan NGO di Gaza sangat ketat dan penyampaian bantuan dipantau agar tidak berlaku penyelewengan.

“Sebagai contoh, dalam projek korban tahun ini, pihak saya membeli 122 ekor lembu melalui sistem tender terbuka.

“Agihan akan dibuat melalui 140 NGO tempatan yang berdaftar dan dipantau Kementerian Dalam Negeri, malah kami perlu menyediakan senarai nama 30,000 keluarga yang akan menerima bantuan daging,” katanya.

Jelasnya lagi, menjadikan perbelanjaan diaudit adalah bonus dan menunjukkan bahawa NGO menjunjung integriti dan transparensi.

“Itu tindakan yang diambil pihak saya tahun ini kerana kami mula mencuri perhatian dan diberi amanah yang besar menyampaikan sumbangan kalian.

“Adakah pihak EL (Ebit) bersedia memberi penerangan sekiranya ratusan ribu dolar yang dibayar ke syarikat Hala, untuk penginapan, barangan sumbangan yang dibeli untuk agihan sama ada yang terdampar di Kaherah atau yang dibeli di Gaza?

“Sekiranya perbelanjaan tersebut datang daripada poket sendiri, sahhah wa afiyah, terima kasih dan teruskan usaha murni ini,” katanya lagi.

Hantaran Nadir di laman sosial Telegram.

Tambahnya, jika perbelanjaan bukan daripada poket sendiri, Ebit perlu bertanggungjawab memberi penerangan kepada semua penderma supaya tidak timbul bibit-bibit fitnah yang lain.

Nadir yang tidak kisah dengan makian dan cacian netizen kerana beranggapan di sebalik apa yang zahir, sangat ramai yang memberikan sokongan dan meneruskan sumbangan.

“Tanggungjawab mengurus NGO dan melakukan kebajikan ini tanggungjawab sosial, ia bukan semata-mata dengan mengirim gambar dan meraih sokongan awam tetapi ia amanah yang akan ditanya di hadapan ALLAH SWT kelak dan sepatutnya pengurusan setiap NGO khususnya masuk keluar sumbangan wajar ditanya oleh penderma yang bijak.

“Contohnya kalau akaun NGO mempunyai puluhan juta ringgit dan bantuan yang disampaikan hanya beberapa ratus ribu dolar dan diketahui perancangan penggunaan baki duit yang disumbangkan orang ramai, pastinya ia bukan tanda integriti dan transparensi.

“Seruan saya kepada pihak tim EL (Ebit), beranilah tampil untuk memberikan penerangan dan penjelasan tentang beberapa perkara yang disebutkan daripada melihat jutaan netizen mencipta fitnah dan bertelagah sesama sendiri,” katanya lagi.

Ebit Lew hari ini mengadakan sidang media menjawab segala persoalan yang dibangkitkan Nadir juga penyanyi rap Caprice – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast