Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes penggubahan wang haram membabitkan RM9.5 juta dan dua tuduhan membuat kenyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dihadapi oleh peguam terkenal, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah terpaksa ditunda ke 27 Ogos depan.

Muhammad Shafee yang didakwa menerima wang tersebut daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terpaksa menjalani kuarantin kendiri sehingga 1 Ogos ini selepas menjadi kontak kepada pesakit Covid-19.

Sepatutnya hari ini perbicaraan Muhammad Shafee bersambung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dihadapan hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Menurut peguam mewakili Muhammad Shafee, Harvinderjit Singh, mahkamah kemudian memutuskan 27 Ogos sebagai tarikh sambung bicara kelak.

Setakat ini, tiga saksi telah memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 21 Mei lalu.

Pada 13 September 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek yang dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri itu dan dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram, iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014. – MalaysiaGazette