Perdana Menteri dalam Forum Perdana dan Malaysia Berzikir malam ini.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menganjurkan Forum Perdana Ehwal Islam dan Program Malaysia Berzikir bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam ini.

Dua program itu menurut Ketua Pengarah Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh, adalah kesinambungan daripada usaha dan ikhtiar kerajaan dalam menghadapi pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak tahun lalu.

Kata beliau, program itu turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Timbalannya, Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

“Program ini akan disiarkan secara langsung menerusi TV1 dan media sosial rasmi Jakim serta RTM menerusi slot rancangan Forum Perdana Ehwal Islam jam 9 malam ini.

“Sejurus selepas program ini, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk “Menginsafi Hikmah” akan melengkapkan Program Malaysia Berzikir dengan perbincangan bersama panel undangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, ahli panel Forum Perdana malam ini ialah Pakar Motivasi, Datuk Dr. Mohd Fadhilah Kamsah; Pensyarah Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail; dan pendakwah, Muhammad Ashraf Ridzuan.

Beliau mengajak orang ramai untuk meluangkan masa menyertai program itu malam ini. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Al-Mulk setiap malam dan Al-Kahfi setiap hari (malam dan/atau siang) Juma’at termasuk zikir ke?

Comments are closed.